MUAR 4 Okt. – Sebanyak 17 titik panas dikesan di negeri ini sejak awal tahun ekoran kejadian kebakaran di kawasan pertanian, perladangan atau hutan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal berkata, antara daerah yang kerap berlaku kejadian itu termasuk Muar, Batu Pahat, Pontian dan Mersing.
“Titik panas merupakan kawasan atau lokasi kebakaran yang dikesan melalui satelit dan kebanyakannya berlaku di kawasan-kawasan pertanian yang memiliki tanah gambut.
“Selain itu, faktor semula jadi juga boleh menyebabkan titik panas melanda, iaitu akibat cuaca panas yang melampau. Namun, kebiasaanya satelit mengesan pembakaran yang dalam skala besar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Melancarkan Uji Cuba Prosedur Standard Operasi (SOP) Mencegah Kebakaran Tanah Gambut sempena Sambutan Hari Alam Sekitar peringkat negeri di Parit Juno, di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Md. Ysahrudin Kusni; Pegawai Daerah Muar, Mohd. Haffiz Ahmad dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Datuk Dr. Mohammad Ezanni Mat Salleh. -UTUSAN ONLINE











