KUALA LUMPUR 4 Okt. – Pas mengucapkan takziah kepada keluarga enam anggota bomba yang terkorban dalam misi mencari dan menyelamat di lombong Putra Perdana, Puchong dekat sini semalam bagi mencari seorang pelajar tingkatan lima yang dipercayai lemas di lombong itu.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, parti itu berharap semua keluarga anggota bomba dan pelajar terbabit sentiasa tabah dan kuat menghadapi ujian itu.
“Mereka (enam anggota bomba terbabit) adalah wira negara yang sanggup merisikokan nyawa untuk membantu orang lain. Satu penghormatan harus diberikan kepada mereka semua,” katanya dalam satu kenyataan dalam akaun Facebook ketua penerangan parti itu hari ini.
Beliau mengulas laporan enam anggota daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Selangor itu lemas akibat dibawa arus deras ketika mencari Mohd. Ilham Fahmy Mohd. Azzam, 17, yang hilang ketika memancing di lombong berkenaan.
Nasrudin berkata, parti itu meminta orang ramai sentiasa berwaspada bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang terutama ketika peralihan monsun yang menyebabkan hujan lebat pada waktu petang dan malam.
“Pas menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah kewaspadaan yang tinggi dan sentiasa berdoa kepada Allah memelihara daripada kejadian tidak diingini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











