PUTRAJAYA 4 Okt. – Nama paling popular di Malaysia ketika ini adalah Ismail iaitu sebanyak 72,157 orang diikuti dengan Ahmad sebanyak 57,914 orang sementara Abdullah merekodkan sebanyak 47,989 orang.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, bagi wanita, nama paling popular adalah Fatimah dengan 74, 605 orang,
Zainab (41,450) dan Azizah (34,114).
“Sementara itu, nama paling panjang ialah Princess Aura Nurr Ermily Amara Auliya Bidadari Nawal El Zendra Binti Mohd. Sufian,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Pendaftaran Negara dan Hari Inovasi 2018 JPN bertemakan ‘Perkhidmatan Merentasi Masa’ di sini hari ini.
Sambutan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman.
Difahamkan, nama terpanjang itu didaftarkan pada tahun lalu.
Sementara itu, Mohammad Razin berkata, jumlah pemegang MyKad di seluruh negara adalah sebanyak 22,664,777 sehingga 30 Jun lalu.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 19,322,409 pemegang telah menukar MyKad struktur baharu manakala 3,247,589 pemegang masih belum menukar kepada MyKad struktur baharu.
Katanya, sebanyak 81,250 pemegang masih memegang kad pengenalan bermutu tinggi (KPT) dan 13,525 masih memeganf kad pengenalan pertama (KPP).
“Sehubungan itu, JPN menyeru supaya pemegang MyKad yang masih belum menukar MyKad struktur baharu, pemegang KPT dan pemegang KPP untuk menukar kad pengenalan mereka di mana urusan ini boleh dilaksanakan di kaunter JPN seluruh negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE











