KOTA BHARU – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan cuba merasuah seorang anggota polis Ahad lalu.
Hakim Zaman Mohd. Noor menjatuhkan hukuman tersebut selepas Ahmad Shafein Abdullah, 28, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.
Lelaki yang tidak bekerja itu didakwa telah secara rasuah menawarkan wang tunai RM200 terhadap Lans Koperal Zulfahmey Izzudin Gan Abdullah yang bertugas di Balai Polis Kubang Kerian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Kubang Kerian di sini, kira-kira pukul 5 petang pada 30 September lalu.
Wang tersebut adalah sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang bagi kesalahan tidak memiliki lesen memandu B2 dan tidak memakai topi keledar di bawah Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah 4 APJ 1959.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama dan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Shahidah Muslimah Roslan manakala tertuduh diwakili peguam Siti Syaerah Meor.
Siti Syaerah memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman rendah terhadap tertuduh dengan mengambil kira pengakuan bersalah yang dilakukannya.
Mengikut fakta kes, anggota polis tersebut dan Koperal Syazwan Sulong membuat rondaan cegah jenayah di sekitar Jalan Tok Kenali dan setibanya di hadapan stesen minyak Petronas dan menahan tertuduh yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda.
Tertuduh yang tidak memiliki lesen memandu dan tidak memakai topi keledar kemudian menawarkan wang tunai RM200 kepada anggota polis berkenaan agar tidak diambil tindakan. – K! ONLINE











