PM ucap takziah kepada keluarga anggota bomba terkorban dalam operasi menyelamat - Utusan Malaysia

PM ucap takziah kepada keluarga anggota bomba terkorban dalam operasi menyelamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengucapkan takziah kepada ahli keluarga enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang terkorban ketika operasi menyelamatkan seorang remaja yang dilaporkan tergelincir, ketika memancing di lombong Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor malam tadi.

Kata beliau, kerajaan akan mempertimbangkan bantuan kepada pihak keluarga termasuk mencadangkan supaya latihan-latihan yang lebih berkesan dibuat pada masa depan bagi mengelak kejadian serupa berulang.

“Kita belum tahu kenapa enam orang (anggota PPDA) tenggelam dalam satu usaha untuk menyelamatkan seorang yang hilang jadi kita harap dengan adanya latihan-latihan lebih berkesan kejadian seperti ini tidak akan berlaku.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini adalah insiden yang tragis dan kita meminta keluarga supaya bersabar dan harap tidak berlaku lagi pada masa depan, saya ingin mengucapkan takziah kepada pihak keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Pengurusan Bencana ASEAN kali keenam di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Semalam, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, enam penyelam berkenaan baru lima minit berada dalam air, bagi menjejaki seorang remaja berusia 17 tahun, yang dilaporkan terjatuh ke lombong itu jam 5 petang semalam.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba datang arus deras menyebabkan semua mangsa terbelit tali yang dipasang di antara satu sama lain, yang dipercayai menjadi punca peralatan menyelam dipakai mereka tertanggal dan dalam masa yang sama berlaku pusaran arus deras berpunca daripada hujan lebat yang mengalir ke kawasan tumpuan operasi.

Enam anggota PPDA yang terkorban itu dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang serta Shah Alam.

Mereka terdiri daripada Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini