PUTRAJAYA 4 Okt. – Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan kejadian enam anggota bomba yang lemas dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di lombong Taman Putra Perdana, Puchong semalam sebagai satu tragedi yang amat menyedihkan.

Perdana Menteri berkata, beliau mengucapkan takziah terhadap ahli-ahli keluarga anggota-anggota bomba terbabit dan diharap dapat bersabar dalam menempuh dugaan ini.
“Ini tragedi menyedihkan dan kita belum tahu kenapa enam orang (anggota bomba) tenggelam dalam satu usaha menyelamatkan seorang yang hilang.
“Kita berharap akan adanya latihan-latihan berkesan, agar bencana ini tidak berlaku lagi, kita juga akan melihat bantuan (untuk disalurkan) kepada keluarga mangsa,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana ke-3 di sini hari ini.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 9 malam semalam, enam anggota bomba dari Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Selangor terkorban ketika melakukan usaha mencari dan menyelamat seorang remaja di kawasan lombong berkenaan.
Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada pusaran air deras yang terjadi akibat hujan lebat sejak petang tadi. – UTUSAN ONLINE











