KUALA LUMPUR – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dilihat tiba di Kompleks Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pukul 8.27 pagi bagi menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Isteri kepada Ahli Parlimen Pekan yang dipercayai bermalam di lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya tersebut dilihat memakai baju kurung bewarna jingga tiba di mahkamah dengan menaiki kereta jenis Toyata Vellfire.
Sebaik tiba, Rosmah kelihatan tenang dan dikawal ketat oleh pasukan polis serta pegawai SPRM sebelum dibawa masuk ke dalam mahkamah untuk mendengar pertuduhan yang dihadapinya.
Terdahulu, kira-kira 100 wartawan tempatan dan antarabangsa turut hadir bagi membuat liputan berhubung kes tersebut.
Kosmo! hari ini melaporkan, selepas tiga kali dipanggil untuk memberi keterangan, Datin Seri Rosmah Mansor akhirnya ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sini semalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh SPRM, penahanan pada pukul 3.20 petang itu dibuat selepas siasatan berhubung pengubahan wang haram tersebut selesai dan mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.
Pertuduhan itu menyaksikan Rosmah menjadi isteri bekas Perdana Menteri pertama yang berdepan dengan dakwaan sedemikian. – K! ONLINE











