PALU 3 Okt. – Angka korban akibat bencana berganda gempa bumi dan tsunami Indonesia meragut nyawa lebih 1,407 orang ketika masa semakin suntuk untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran banyak keperluan tidak dapat dipenuhi.
Pihak berkuasa menetapkan sehingga Jumaat ini bagi mencari mangsa yang terperangkap di bawah sisa runtuhan, iaitu seminggu selepas bencana itu berlaku dan peluang mencari mangsa hidup bertukar menjadi sifar.
Pasukan penyelamat memberi tumpuan kepada enam lokasi utama di sekitar bandar tepi pantai Palu iaitu Hotel Roa-Roa dengan 60 orang dipercayai masih tertimbus, sebuah pasar raya, restoran dan kawasan Balaroa, kawasan bertukar menjadi tanah lumpur.
Menurut pejabat kemanusiaan PBB, hampir 200,000 penduduk memerlukan bantuan antaranya puluhan ribu kanak-kanak dengan kira-kira 66,000 rumah musnah akibat gempa dengan kekuatan 7.5 Richter dan tsunami.
Walaupun kerajaan Indonesia menggesa pasukan penyelamat asing supaya ‘menarik diri’ kerana krisis itu mampu ditangani ketika penduduk di perkampungan terpencil terjejas teruk seperti Wani di wilayah Donggala berkata, sedikit bantuan tiba dan harapan kian pudar.
“Sebanyak 12 orang di kawasan ini masih belum ditemui. Di kawasan ini sehingga selatan, oleh kerana tiada pemindahan, kami tidak tahu jika ada mayat. Jika ada jumlahnya mungkin banyak,” kata Mohammad Thahir Talib.
Di Geneva, PBB menyuarakan kekecewaan berikutan maklum balas bantuan lambat dihulurkan.
“Terdapat banyak kawasan yang mungkin terjejas teruk tetapi gagal dimasuki, namun pasukan berusaha melakukan apa yang terdaya,” kata Jens Laerke dari pejabat kemanusiaan PBB semalam.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan di Donggala, kira-kira 310,000 orang terjejas akibat bencana berganda itu.
Sementara itu, mangsa terselamat bergelut menahan lapar dan dahaga dengan bekalan makanan dan air tidak mencukupi selain hospital dibanjiri penduduk yang cedera.
Pihak berkuasa di lapangan berkata, ketika kerajaan merayu bantuan, masih tiada mekanisme bagi melaksanakan operasi itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Joko Widodo yang melakukan lawatan kedua ke Sulawesi hari ini berkata, usaha membantu mangsa diperhebat dan beliau mahu melihat aktiviti ekonomi disambung semula di Palu.
“Selepas datang semula saya lihat peralatan berat sudah sampai, logistik mula tiba walaupun belum tahap maksimum, bahan bakar sudah separuh sampai,” katanya kepada wartawan.
Jakarta Post melaporkan, Lapangan terbang Mutiara SIS Al-Jufri di Palu beroperasi 24 jam bagi membolehkan penerbangan bantuan mendarat khususnya bagi mengurus bekalan keperluan dan anggota menyelamat tambahan, semalam.
Jurucakap pengusaha khidmat navigasi AirNav Indonesia, Yohanes Sirait berkata, pihaknya mengekalkan penerbangan komersial mulai pukul 6 pagi hingga 10 malam. – Agensi











