SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencadangkan kepada kerajaan untuk meminda Akta Kastam 1967 untuk mengenakan tindakan hukuman sebatan dan denda minimum RM100,000 terhadap mereka yang menjual rokok dan arak seludup.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, denda hukuman yang lebih berat itu bertujuan untuk mengekang penjualan rokok dan arak seludup di negara ini.
“Dengan pindaan akta itu, penjual yang menjual satu karton rokok seludup akan dikenakan denda minimum RM100,000 dan sebatan berbanding sebelum ini iaitu denda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barang sahaja yang mana sindiket biasanya akan membayar denda.
“Kita yakin outlet-outlet yang menjual rokok dan arak seludup dan tiruan di negara ini dapat dikawal kerana tindakan punitif ini,” katanya pada satu sidang akhbar di sini semalam.











