KUALA LUMPUR 3 Okt. – Enam anggota bomba daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ditemukan maut dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Cyberjaya dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, kesemua anggota berkenaan dilaporkan lemas akibat dibawa arus deras.
Mereka ialah Mohd. Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Yahya Ali, 24; Mazlan Omarbaki, 25; Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman mengesahkan kejadian tersebut.
“Mereka yang mati lemas ialah dua anggota PPDA dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam manakala empat lagi dari BBP Pelabuhan Klang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kesemua mangsa sebelum itu terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat seorang remaja berusia 17 tahun yang lemas selepas terjatuh ke dalam lombong tersebut yang terletak berhampiran perumahan La Cottage, Cyberjaya pada pukul 5.50 petang.
Mayat kesemua anggota bomba yang maut telah ditemukan dan dibawa ke Hospital Serdang.
Bagaimanapun, mayat remaja 17 tahun yang dikhuatiri lemas masih belum dijumpai.











