JOHOR BAHRU 3 Okt. – Bayangkan pisang goreng yang disajikan dengan secawan kopi, pastinya membangkitkan selera sesiapa sahaja apatah lagi jika disajikan panas-panas.
Di bandar raya ini, nama Pisang Goreng Bunpah Corner pastinya tidak asing lagi termasuk dalam kalangan pelancong khususnya dari Singapura.
Terletak di Lorong Intan, Kampung Melayu Majidee, kedai berkenaan yang beroperasi mulai pukul 12 tengah hari hingga 7 petang setiap hari kecuali Isnin menjual pelbagai jenis pisang goreng, antaranya nipah, tanduk dan nangka.
Pemilik kedai, Hafifah Ahmad, 63, berkata, jenama Pisang Goreng Bunpah Corner mula bertapak di hadapan Sekolah Agama Dato’ Abdullah Esa, Kampung Melayu Majidee pada tahun 1988 sebelum berpindah ke lokasi sekarang pada 2016.
Beliau yang mesra disapa Kak Pah memberitahu, suaminya, Bunajis Ngadiman, 63, merupakan tulang belakang perniagaan tersebut kerana bertanggungjawab menyediakan adunan tepung bagi pisang goreng.
“Orang suka pisang yang lembut di dalam, namun ranggup di luar dan itu yang dicari pelanggan setiap kali datang ke kedai ini.
“Bukan itu sahaja, bagi masyarakat negeri ini, pisang goreng pastinya tidak lengkap sekiranya tidak dimakan dengan sambal kicap,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Selain pisang goreng, Hafifah yang dibantu enam pekerja termasuk anaknya, Mohd. Izhar, 37, turut menjual pelbagai makanan lain seperti keropok lekor, cendawan goreng, kuih ubi ketuk dan tempe goreng.
Menantunya pula, Norzalina Hassan atau lebih dikenali sebagai DJ Zharyn yang bertugas di stesen radio BestFM turut membantu memasarkan produk keluarannya ke seluruh negara.
Atas permintaan tinggi pelanggan setia selain cuba ‘merevolusikan’ perniagaan pisang goreng, Hafifah juga telah menghasilkan pisang goreng sejuk beku (frozen) sejak 2016 serta sambal kicap yang dibotolkan.
“Idea untuk membuat pisang goreng sejuk beku ini mula timbul apabila pelanggan setia kami terutamanya dari Singapura bertanya bagaimana mereka boleh mendapatkan pisang goreng Bunpah ini sekiranya tidak datang ke kedai.
“Oleh itu, bagi memudahkan pelanggan menikmati pisang goreng Bunpah di mana-mana sahaja atau pada bila-bila masa, maka terhasillah pisang goreng sejuk beku ini,” katanya.
Hafifah turut berpeluang menyertai beberapa ekspo termasuk Ekspo Johor Berkemajuan pada tahun lalu, sekali gus dapat mempromosi dan memperluaskan lagi jenama Pisang Goreng Bunpah Corner.
Ditanya tentang perancangan masa depan, beliau bercadang untuk berniaga menggunakan trak makanan atau ‘food truck’ selain memperluaskan lagi produk pisang goreng sejuk beku yang diusahakannya.











