LONDON 3 Okt. – Jose Mourinho enggan melayani Paul Scholes selepas legenda Manchester United itu menyifatkan dia sebagai ‘memalukan kelab’.
Scholes mengeluarkan kenyataan tersebut sebelum United seri 0-0 dengan Valencia dalam Liga Juara-Juara di Old Trafford, hari ini.
Dia juga terkejut kerana Mourinho masih kekal sebagai pengurus, terutama selepas kekalahan 1-3 kepada West Ham dalam Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.
“Saya tidak perlu tahu apa yang diperkatakannya. Dia boleh bercakap apa sahaja. Saya tidak berminat.
“Ini negara bebas, dia boleh bercakap apa yang diinginkan,” katanya dalam sidang akhbar sejurus tamat pertemuan dengan Valencia.
“Saya sebenarnya sangat terkejut dia (Mourinho) masih terselamat selepas aksi Sabtu lalu.
“Dalam sidang akhbar, dia sering menyalahkan pemain atau orang di sekeliling kerana tidak dapat apa yang dimahukan.
“Saya fikir, mulutnya sukar dikawal dan dia memalukan kelab,” kata Scholes kepada BT Sport.
Dalam perlawanan hari ini, sekumpulan penyokong Red Devils turut mengejek aksi membosankan United, dan menjerit ‘serang, serang, serang’ pada babak kedua.
Suasana dalam pasukan juga tidak harmoni apabila Paul Pogba dilihat menjerit kepada Romelu Lukaku kerana kurang bergerak.
United kini gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut sejak 22 September lalu. – AGENSI











