SEPANG 3 Okt. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membongkar satu sindiket membuat arak tiruan pelbagai jenis dalam Operasi Gempur ke atas sebuah kilang di Cheras, Kuala Lumpur pada 28 September lalu.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, hasil serbuan mendapati premis tersebut dijadikan tempat membuat arak tiruan seperti Mandalay, Club 99, Grand Royal dan lain-lain.
“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 60 tahun yang terlibat dalam sindiket membuat minuman keras tiruan ini.
“Kes disiasat di bawah tiga akta iaitu Akta Eksais 1976, Akta Kastam 1976 dan Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Pengurusan Lapangan Terbang (AMC) di sini hari ini.
Menurut Subromaniam, sejak operasi tersebut dijalankan pada 21 September lalu, sebanyak 1,063 serbuan ke atas pelbagai premis telah dibuat.
Ujarnya, dalam operasi tersebut sebanyak 17,374 liter minuman keras pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM40,571 dengan jumlah cukai RM168,375 telah dirampas.
Jelasnya, operasi itu dilaksanakan ekoran berlakunya kes keracunan arak yang telah meragut banyak nyawa di sekitar Lembah Klang, bulan lalu.
Sementara itu, beliau memberitahu, kastam bercadang meminda Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dengan mengenakan hukuman lebih keras iaitu denda tidak kurang RM100,000 dan sebat kepada peniaga yang menjual rokok serta arak seludup.











