KUALA LUMPUR 3 Okt. – Berkongsi sebelah buah pinggang dengan suami merupakan tanda cinta dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi penyanyi terkenal, Dayangku Intan terhadap suaminya, Rosman Yalil.
Bagi penyanyi yang pernah masyhur dengan lagu Semakin Rindu Semakin Sayang itu, tiada apa yang lebih membahagiakannya selain daripada melihat suami yang dinikahi 34 tahun lalu itu dapat kembali menjalani kehidupan seperti orang lain.
Lebih bermakna buat Dayangku Intan ialah, kesanggupannya menderma buah pinggan kanannya itu juga sebagai memenuhi janji untuk susah senang bersama yang sering dilafazkan kepada suaminya.
“Inilah namanya perkahwinan. Susah dan senang perlu diharungi bersama. Kami pasangan yang bahagia dan masih saling mengasihi satu sama lain. Pernah saya katakan kepada suami yang saya sangat cintakan dia sehinggakan mahu buah pinggang saya ada dalam tubuhnya,” ujar Dayangku Intan atau nama sebenarnya, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid, 52, kepada wartawan ketika ditemui di wad Pusat Perubatan Prince Court di sini hari ini.
Jumaat lalu, proses pemindahan buah pinggang Dayangku Intan kepada Rosman berjaya dilakukan di pusat perubatan swasta itu dan kini kedua-dua mereka sudah stabil.
Sekalipun pada awalnya doktor harus mengadakan penelitian terhadap kesediaan artis itu menderma buah pinggang selain perlu mengambil masa yang panjang sebelum melakukan pembedahan, namun sejak mendapat khabar keadaan suaminya berhadapan masalah, Dayangku Intan sudah nekad untuk melakukan pengorbanan.
Pada masa sama, dia juga mahu berkongsi dengan orang ramai agar jangan takut untuk menderma organ terutama kepada ahli keluarga sendiri.
Sementara itu, Rosman yang kelihatan semakin cergas menyifatkan pengorbanan isterinya itu terlalu besar dan dia secara peribadi berhutang nyawa dengan Dayangku Intan.
“Pengorbanan yang dilakukan oleh Dayang tidak akan dapat dibalas oleh saya seumur hidup. Kini kami betul-betul berkongsi nyawa,” kata Rosman.
Sementara itu, pasangan berkenaan turut menerima kunjungan Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave dan Pemegang Amanah YKAT, Datuk Nashrudin Elias (Nash) serta Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez.











