Tanggung kos buat lagu - Utusan Malaysia

Tanggung kos buat lagu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAN hari, lelaki berusia 31 tahun itu menghabiskan masa lebih lapan jam di dapur panas sambil dikelilingi kuali, sudip, daging, pinggan dan bahan memasak.

Berkhidmat sebagai tukang masak di Restoran Me’nate Steak House, Setapak, Kuala Lumpur, Chairul Anwar mempunyai kemahiran memotong dan memanggang daging lembu.

Dia yang lebih dikenali sebagai Fisc An telah bekerja di restoran mewah tersebut sejak sembilan tahun lalu selepas berhijrah ke negara ini daripada tempat asalnya di Tanjung Balai, Indonesia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kesibukan tugas sebagai tukang masak, lelaki tinggi lampai itu masih sempat menghasilkan album mini yang mengandungi enam buah single atau lagu rakaman studio.

Fisc An juga tidak sunyi daripada menerima jemputan mengadakan persembahan pada festival-festival dan kenduri perkahwinan yang berlangsung di sekitar Tanjung Balai dan Johor.

“Sejak berusia tujuh tahun, saya mempunyai hobi menyanyi. Cita-cita saya juga menjadi seorang penyanyi terkenal.

“Bagi mencapai cita-cita itu, saya mengorak langkah menjadi seorang penyanyi indie pada tahun 2016,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Penyanyi indie atau bebas merupakan golongan yang mempunyai lagu sendiri, namun tidak bernaung atau mengikat kontrak bersama syarikat rakaman.

Kebiasaannya, seseorang penyanyi lebih selesa bernaung dengan syarikat rakaman bagi menguruskan penerbitan lagu, album, pemasaran dan promosi.

Malah, terdapat syarikat rakaman yang menyediakan seorang perunding peribadi bagi menguruskan masa dan imej penyanyi tersebut.

Antara syarikat rakaman yang popular di negara ini ialah Rusa Muzik, Suria Record, FutureMusic Entertainment, FMC Music dan Aeres Music.

Menurut Fisc An, kerjayanya sebagai penyanyi indie bermula selepas berkenalan dengan seorang komposer indie di negara ini menerusi media sosial.

Jelas anak ketiga daripada lima adik-beradik itu, hasil perkenalan tersebut telah membawa kepada penciptaan lagu pertamanya yang berjudul Koma Noktah Baris pada tahun 2016.

“Sebelum mendapat lagu ini, komposer berkenaan menguji vokal dan komitmen saya terlebih dahulu. Selepas melepasi ujian itu baru saya diberikan lagu.

“Lagu ini direkodkan di sebuah rumah yang biliknya diubah suai menjadi studio rakaman. Walaupun serba kekurangan, hasilnya sangat baik,” ujarnya.

Tuah ternyata berpihak pada Fisc An, apabila lagu Koma Noktah Baris mendapat perhatian ramai selepas tular dalam media sosial di Indonesia.

Keadaan itu membolehkan lagu berkenaan dimainkan di corong radio serta memasuki carta-carta lagu, sekali gus menjadi siulan anak muda.

Kejayaan lagu itu membolehkan Fisc An mendapat lima lagi lagu daripada komposer berkenaan iaitu Tiada, Pelaminan Suci, Diam, Inikah Cinta dan Aku Ingin Tahu.

“Saya bernasib baik kerana lagu diterima peminat di tanah kelahiran dan sekitar Johor. Jadi, perlu berulang-alik ke Indonesia untuk memenuhi jemputan persembahan,” katanya.

Fish An memaklumkan, dia menerima empat atau lima jemputan mengadakan persembahan dengan hasil pendapatan antara RM6,000 hingga RM10,000 setiap bulan.

Tiada penaja

Ujarnya, disebabkan dia merupakan seorang penyanyi indie, maka semua kos seperti perjalanan, penginapan, pakaian dan makanan perlu ditanggung sendiri.

“Hasil persembahan yang diperoleh banyak dihabiskan untuk membeli pakaian untuk mengadakan persembahan di atas pentas. Pakaian sahaja sudah beribu ringgit.

“Penyanyi indie seperti saya tidak ada jenama yang ingin menaja pakaian, penginapan atau perjalanan. Semua kena keluar duit poket sendiri,” keluhnya.

Berbeza pula kisahnya dengan Khairuddin Abas atau Deens Khai, 31, yang mempunyai lima buah lagu iaitu Berdiam Lebih Baik, Bila Tiba Masanya, Mengharap Kembali, Telah Kau Tahu dan Zapin Cinta Tersyahdu.

Lelaki yang berkhidmat sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Johor Bahru, Johor itu terpaksa berulang-alik ke Kuala Lumpur hampir setiap bulan untuk merekodkan lagu dan mengadakan promosi.

“Cabaran terbesar sebagai penyanyi indie adalah untuk membahagikan masa antara kerjaya dan komitmen menyanyi.

“Biasanya, saya akan ke Kuala Lumpur pada cuti hujung minggu atau mengambil cuti pelepasan daripada majikan,” jelas lelaki berkulit cerah itu.

Menurutnya, pelbagai cara dan usaha dilakukan bagi mempopularkan lagu-lagunya termasuklah menerusi media sosial seperti Facebook serta YouTube.

Populariti

Deens Khai memberitahu, ada ketikanya, dia terpaksa menerima jemputan mengadakan persembahan pentas secara percuma semata-mata bagi mempromosikan lagunya.

“Saya tidak kisah penganjur tidak ingin memberi bayaran. Malah, saya sanggup mengeluarkan duit poket sendiri bagi menanggung semua kos.

“Pada saya, bayaran tidak penting kerana minat melebihi segala-galanya. Paling utama, saya dapat mengadakan persembahan, sekali gus mempromosikan lagu kepada pendengar,” jelasnya.

Bagaimanapun, jauh dalam sudut hati Deens Khai, dia mengharapkan bakatnya dalam bidang nyanyian dapat dihargai masyarakat dan meraih populariti.

Dia berharap dapat mengikut jejak langkah beberapa penyanyi indie yang berjaya bernaung di bawah label besar seperti Khai Bahar, Yuna, Hujan dan Ismail Izzani.

Sementara itu, komposer indie, Rosli Ahmad, 51, memaklumkan, dia lebih selesa bekerjasama dengan penyanyi indie berbanding penyanyi profesional.

Rosli yang juga kakitangan Kementerian Pendidikan berkata, lebih 100 lagu ciptaannya telah diberikan kepada penyanyi indie yang terpilih menerusi program Radical Star Search (RSS).

RSS merupakan program pencarian bakat nyanyian dalam talian yang diilhamkan oleh Rosli menerusi syarikat rakamannya, Radical Record.

“Penyanyi indie ini mudah, mereka tidak banyak kerenah seperti penyanyi profesional. Setiap lagu yang diberikan, mereka akan berikan yang terbaik.

“Saya tidak kisah penyanyi itu tidak ada rupa atau bertubuh gempal sekali pun. Paling utama, mereka ada minat menyanyi dan dapat memberi komitmen,” katanya.

Bapa kepada empat cahaya mata itu memberitahu, mencipta lagu merupakan sebahagian daripada hobinya ketika masa lapang.

Terangnya, setiap lagu diciptanya akan diberikan secara percuma kepada penyanyi indie yang berhasrat memiliki lagu sendiri.

“Banyak orang dalam industri marah kepada saya sebab bagi lagu percuma kepada orang. Selalunya, penyanyi perlu membayar kepada komposer untuk mendapatkan lagu.

“Pada saya, lagu yang diberikan adalah amal jariah. Saya tidak mengharapkan sebarang ganjaran daripada lagu yang dihasilkan,” katanya.

Menurut Rosli, kerenah birokrasi menjadi penghalang utama lagu ciptaannya yang dinyanyikan oleh penyanyi indie sukar menembusi media arus perdana.

Jelasnya, terdapat televisyen dan radio yang meminta bayaran terlalu tinggi selain perlu mengenali ‘orang dalam’ untuk mempromosikan lagu-lagu ciptaannya.

“Banyak media di negara ini memutarkan lagu bukan berdasarkan kualiti sesebuah lagu itu. Sebaliknya, lebih mementingkan keuntungan dan populariti penyanyi.

“Mujurlah, perkembangan teknologi masa kini membolehkan wujudnya radio atas talian. Radio seperti Dream FM, banyak memutarkan lagu-lagu saya” terangnya.

Minat mendalam terhadap bidang nyanyian menjadi pembakar semangat kepada penyanyi indie untuk terus bertahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini