AS kalah di ICJ, Washington diarah mansuh sekatan Iran - Utusan Malaysia

AS kalah di ICJ, Washington diarah mansuh sekatan Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE, Belanda – Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengarahkan Amerika Syarikat (AS) membatalkan sekatan ke atas barangan ‘kemanusiaan’ untuk Iran sekali gus memberikan tamparan kepada Presiden Donald Trump.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) membuat keputusan selepas Iran meminta ia menghentikan sekatan ekonomi yang dikuatkuasakan semula oleh Trump selepas beliau menarik diri daripada perjanjian nuklear bersejarah yang dimeterai bersama Teheran.

Panel hakim ICJ di The Hague sebulat suara memutuskan bahawa sekatan AS ke atas sesetengah barangan melanggar ‘perjanjian persahabatan’ antara Teheran dan Washington yang dimeterai pada tahun 1955 sebelum era Revolusi Islam Iran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mahkamah ini sebulat suara memutuskan bahawa AS perlu membatalkan dengan apa cara sekali pun, sebarang sekatan berkaitan langkah yang diumumkan pada 8 Mei 2018 melibatkan eksport ubat, peralatan perubatan, makanan dan komoditi pertanian di sam­ping komponen pesawat,” kata ketua panel hakim berkenaan, Abdulqawi Ahmed Yusuf.

Menurut ICJ, sekatan ke atas barangan untuk keperluan kemanusiaan boleh menjejaskan kesihatan dan nyawa orang awam di Iran.

“Sekatan AS juga berisiko membahayakan keselamatan penerbangan awam dan penumpang di Iran,” kata Abdulqawi.

Trump mengenakan sekatan pertama ke atas Iran pada Ogos lalu selepas menarik diri daripada perjanjian bersama Teheran pada 8 Mei lepas.

ICJ menghakimi pertikaian antara negara anggota PBB. Keputusannya sah dan tidak boleh dirayu tetapi mahkamah tersebut tidak mempunyai mekanisme untuk menguatkuasakan penghakimannya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini