Tonto lindungi ulat teksi haram KLIA, KLIA2 - Utusan Malaysia

Tonto lindungi ulat teksi haram KLIA, KLIA2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 3 Okt. – Kegiatan ulat teksi haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dikesan semakin serius kerana kini turut melibatkan tonto bagi melindungi kegiatan haram itu.

Tonto berkenaan tidak hanya memerhatikan tindakan pihak berkuasa malah turut mengekori dan merakam gambar pegawai-pegawai JPJ dalam usaha untuk mengagalkan operasi penguatkuasaan yang dilakukan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, kegiatan tonto berkenaan dikesan menerusi penahanan seorang lelaki berusia 39 tahun dalam satu operasi di KLIA2 di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini adalah kali pertama kita menangkap seorang tonto yang mana dia berperanan memerhatikan dan mengekori pegawai-pegawai JPJ yang bertugas serta memberi maklumat kepada ulat-ulat teksi.

“Menerusi pemeriksaan terhadap telefon milik tonto berkenaan, kita juga mendapati gambar-gambar pegawai JPJ turut dirakam olehnya,” katanya dalam satu sidang akhbar sempena Ops Khas Ulat 2.0 di KLIA2 di sini hari ini.

Katanya, pihaknya akan menjalankan penguatkuasaan secara berterusan kerana tidak menolak kemungkinan terdapat lagi penglibatan tonto dalam kegiatan ulat teksi haram.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, secara keseluruhannya, pihaknya turut memberkas dua orang ulat teksi dalam operasi hari ini serta 12 ulat teksi dalam operasi di KLIA2 akhir bulan lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini