Kriket Malaysia berisiko hilang ‘rumah sendiri’ - Utusan Malaysia

Kriket Malaysia berisiko hilang ‘rumah sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Okt. – Kriket Malaysia berdepan risiko kehilangan ‘rumah sendiri’ di Kinrara Oval, Puchong selepas diberi notis untuk mengosongkan padang berkenaan pada akhir bulan ini.

Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA), Mahinda Vallipuram mengesahkan badan induk kriket kebangsaan itu menerima notis daripada pemaju supaya mengosongkan venue itu yang digunakan sejak 2003.

“Ia seperti rumah kami sendiri sejak 2003 dan banyak pelaburan dibuat bagi menjadikan venue berkenaan antara terbaik di rantau ini. Kita tidak pasti apa yang dirancang pemaju terhadap tapak venue itu tetapi ia sepatutnya dijadikan kawasan sukan dan rekreasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita terbuka untuk perbincangan dengan pemaju, Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) dan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu ini dengan baik. Kita berharap MCA sebagai persatuan sukan kebangsaan diberi peluang untuk kekal di sana,” katanya kepada Bernama.

Mahinda, yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, isu tersebut meletakkan masa depan kriket Malaysia menjadi tidak menentu.

Terletak di Bandar Kinrara, Puchong, tapak Kinrara Oval diberikan pemaju kepada MCA di bawah pajakan, dengan beberapa bayaran daripada persatuan berkenaan.

MCA sudah menganjurkan pelbagai kejohanan di venue tersebut, termasuk Piala Dunia Bawah 19 (B-19) 2008; tujuh perlawanan Piala DLF 2006-2007 menentang Australia, India dan West Indies; Piala Asia B-19 ACC 2017; Sukan SEA 2017 dan Piala Asia ACC Wanita.

Baru-baru ini, Lembaga Kriket Pakisten (PCB) memilih Kinrara Oval sebagai gelanggang mereka dalam siri perlawanan kategori wanita menentang Australia yang dijadual dari 18 hingga 29 Okt depan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini