PORT DICKSON 3 Okt. – Bunga malai serta kain ‘ponnadai’ yang dipakai oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Konvensyen Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) di Terengganu bulan lalu tidak mempunyai kaitan dengan agama Hindu.
Ketua DHPP, N. Balasubramaniam berkata, bunga malai dan kain tersebut merupakan sebahagian daripada tradisi kaum India.
“Ia diberikan sebagai tanda penghormatan,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Induk Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di sini, hari ini.
Kem PKR mempersoalkan tindakan Abdul Hadi menerima bunga malai dan kain ‘ponnadai’ selepas beliau menyindir sikap calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan tidak konsisten ketika berdepan dengan pengundi berlainan kaum dan agama, Ahad lalu. – UTUSAN ONLINE











