KOTA KINABALU – Polis Kota Kinabalu menyasarkan penurunan kadar jenayah melibatkan kegiatan pelacuran dan perjudian sehingga ke paras minimum di sekitar daerah ini.
Sasaran tersebut merupakan komitmen pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dekat sini dan ia selaras dengan matlamat Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Habibi Majinji berkata, biarpun dua elemen jenayah terbabit berada dalam keadaan terkawal namun, usaha untuk menurunkan kadar peratusan jenayah tersebut kepada sifar akan dijalankan dari semasa ke semasa.
“Sepanjang mengambil alih tanggungjawab di IPD Kota Kinabalu ini, saya melihat prestasi setiap bahagian memuaskan terutamanya aspek pembasmian jenayah.
“Bagaimanapun, kita berharap dua elemen jenayah (perjudian dan pelacuran) ini dapat dibasmi sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan IPD Kota Kinabalu di sini hari ini.
Menurut Habibi, selain aktiviti perjudian dan pelacuran, IPD Kota Kinabalu turut memberi penekanan terhadap masalah penyalahgunaan dadah di sekitar daerah ini.
Katanya, operasi akan dipertingkatkan dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan remaja. – K! ONLINE











