"Tegur saya kalau lupa diri" - Utusan Malaysia

“Tegur saya kalau lupa diri”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNAH terbayang ingin mengundurkan diri daripada dunia seni setelah empat bulan tiada sebarang tawaran kerja selepas memenangi tempat ketiga program realiti Lawak Solo, Fikry Ibrahim akui nekad untuk melupakan bidang seni seandainya rezeki tidak berpihak kepadanya.

Pun begitu, sebagai seorang yang berfikiran rasional, dia tetap menimbang sebaik-baik jalan yang perlu dipilih sebelum membuat keputusan penting dalam kerjaya yang baru cuba mencari nafasnya.

Lebih penting dalam ruang pemikiran lelaki berusia 24 tahun itu masih ada sekelumit kesabaran menanti cahaya di hujung kelam dan bersyukur bila penantiannya itu akhirnya berbayar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selepas tamatnya program Lawak Solo nama saya agak sepi dan tidak begitu menyerlah berbanding rakan pelawak lain. Empat bulan tiada kerja, saya mula merasakan nama Fikry Ibrahim tiada tempat walaupun menang tempat ketiga.

“Pada saat niat untuk berundur diri disuarakan tanpa disedari rezeki saya muncul dan sebaik sahaja bernaung bawah syarikat pengurusan artis LOL Entertainment, saya mulai nampak hala tuju dalam industri,” ulasnya tertib mengatur kemas bicara.

Siapa menyangka, kelana seni yang masih hijau ini akhirnya diberi kepercayaan meneroka skop yang lebih meluas sebagai pengacara dan pelakon dan dia begitu bersyukur dan berterima kasih dengan peluang tersebut.

Bergelar pengacara Gema Gegar Vaganza untuk dua musim, rentetan itu jugalah, graf seni Fikry atau Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim itu semakin bersinar hingga membias dan dipelawa menceburi bidang lakonan.

Bermula dengan drama Hero Seorang Cinderella, Fikry semakin selesa mengatur rentak mengembangkan sayapnya menerusi naskhah-nashkah antaranya Kerna Syurga Bukan Percuma dan Rahsia Hati Perempuan menerusi watak Mikael.

Terkini lelaki berbintang Aries berasal dari Jitra, Kedah ini membintangi drama bersiri 20 episod berjudul Cik Reen & Encik Ngok Ngek yang sedang ditayangkan di saluran Astro Ria, pukul 10 malam.

“Kalau sebelum ini saya bawa watak agak berat, tapi kali ini lebih santai dan menyeronokkan. Tidak sukar untuk saya menyelami watak dalam drama yang diadaptasi dari novel ini memandangkan bidang komedi memang ‘makanan’ saya,” katanya mengenai drama romantik komedi yang menggandingkannya dengan Farah Nabilah.

Mengakui seronok bekerja dengan aktres itu yang dianggap ‘sekepala’, keselesaan bekerja dan menyukai cara pengurusan produksi sutradara Hadith Omar antara faktor mendorong Fikry bersetuju berkolaborasi dalam drama yang memakan masa selama 65 hari penggambaran itu.

Melihat kepada peningkatan karier seninya yang semakin selesa berada di landasan seni, Fikry bagaimana ada rasa sedikit ketakutan menyelubungi diri.

Ketakutan yang dimaksudkan itu adalah apabila berdepan dengan soal lupa diri. Pun begitu, dia sentiasa berjaga-jaga dalam setiap tutur kata dan perilaku supaya tidak keterlaluan pada pandangan orang luar.

Dipandang mata kasar umum, mungkin menganggap karier sebagai seorang selebriti amat mudah, namun hakikatnya ia tidak semudah yang disangkakan.

“Saya takut kalau ‘terbabas’ dan hanyut dalam dunia seni bila terlalu asyik sangat. Sebab itu, saya tak kisah kalau orang nak tegur saya kalau tidak kena dengan gaya.

“Saya akan ambil mana yang negatif untuk diperbaiki menjadi positif. Jangan risau, saya seorang yang bersikap terbuka dan boleh ditegur.

“Saya masih baharu dan banyak lagi yang perlu saya cari dalam dunia seni, sebab itu saya tak boleh sombong dan kena sentiasa terima apa sahaja kritikan dengan hati terbuka,” katanya merendah diri.

Tak boleh tinggal humor

Bukan muka pelawak merupakan antara komen yang pernah diterima aktor berkulit hitam manis ini, namun dia tetap senang andai khalayak mengenali dirinya sebagai pelawak malah tegasnya, cabang itu tetap dekat di hatinya.

Namun menyedari semakin ramai pelawak hadir dalam industri, Fikry tidak menafikan agak sukar untuknya berdiri setanding mereka dan menembusi pasaran.

Justeru dia melihat, bidang lakonan mampu memberinya ruang dan peluang yang lebih besar untuk meneroka bidang seni dengan lebih jauh, sekali gus mencabar bakat yang ada.

“Ramai yang kata, saya tak ada rupa pelawak dan memang saya juga pemalu orangnya malah ramai juga kawan-kawan terkejut apabila saya menyertai Lawak Solo kerana tak sangka saya boleh berlawak.

“Saya juga tidak kisah sebenarnya kalau orang sudah mula lupakan Fikry Ibrahim sebagai pelawak.

“Tak mengapalah… mungkin rezeki saya bukan dalam bidang itu.

“Lagipun kalau saya mengacara saya (masih) boleh selitkan unsur humor dan buat orang ketawa. Siapa yang kenal saya sebagai pelawak, dia akan gelaklah. Tetapi kalau yang tak tahu mungkin akan ada rasa janggal dan pelik,” katanya.

Sempat juga berkongsi peluang mengendalikan program bual bicara hiburan baharu, Hot Spot yang bakal ditayangkan di Radio Televisyen Malaysia mulai 7 Oktober ini, Fikry berbesar hati diberi peluang menemu bual dan berkongsi pengalaman orang seni.

“Pembabitan ini membolehkan saya untuk bertemu dan menemu ramah penggiat seni dan berharap mampu untuk mengendalikan program bual bicara ini yang lebih berbentuk santai,” katanya.

Anak Mak

DIBESARKAN oleh nenek sejak berusia dua hari telah mencorakkan peribadi Fikry, seorang yang sangat penyayang terhadap keluarga  malah sapaan Mak yang diberikan kepada neneknya menjadikan hubungan mereka begitu rapat.

Masakan tidak, ketika ditanya tentang percintaan dan kesediaannya mendirikan rumah tangga, pantas Fikry menjawab yang dia mahu bakal suri hatinya itu harus rapat dan banyak meluangkan masa dengan nenek kesayangannya itu.

“Memang saya manja dengan nenek dan saya akui dia masih memantau saya walaupun pada usia begini. Dia akan tegur saya kalau melihat ada perkara yang kurang enak seperti ada watak-watak yang dibawa bersentuhan.

“Sejujurnya saya tidak kisah ditegur dan selesa dengan keadaan itu kerana sedikit sebanyak dia sentiasa mengingatkan saya untuk tidak hanyut dengan duniawi. Saya suka bila ada orang awasi dan beri nasihat,” katanya.

Tidak kisah dilabel sebagai ‘anak mak’ malah dia memahami andai para gadis takut untuk mendekati dirinya kerana belum masanya untuk dia mencari teman wanita.

“Kini giliran saya untuk balas jasa nenek. Dia jaga saya selepas ibu dan bapa berpisah. Dia banyak berjasa kepada saya. Memang buat masa ini saya tak fokus mencari teman wanita kerana mahu luangkan masa dengan keluarga.

“Malah jika ada teman nanti, saya lebih senang kalau bakal isteri saya itu pun sama-sama meluangkan waktu dengan keluarga,” katanya yang mengelak bertemu jodoh dengan orang industri memandangkan dia seorang yang cerewet.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini