WAJAHNYA sedikit terlukis raut kecewa. Bukan marah atau terkilan, cuma dia merasakan semua peserta Gegar Vaganza musim ke-5 (GV5) boleh memberi persembahan yang lebih baik semasa konsert pertama program realiti paling popular itu.
Siapa yang berani menidakkan penjurian pemuzik handalan, Datuk Ramli MS. Pada matanya, setiap peserta mempunyai kelebihan tersendiri, namun dia akui, rasa gugup membunuh momentum setiap peserta.
Bersua bicara dengan insan hebat ini, Ramli atau popular dengan gelaran Tok Ram menitipkan beberapa nasihat supaya semua peserta lebih siap siaga dengan perisai seni masing-masing kerana cabaran yang bakal ditongkah saban minggu bukan mudah.
Namun benarkah tanggapan segelintir pihak, peserta solo mempunyai harapan cerah untuk memang? Adakah peserta berkumpulan perlu kerja lebih keras bagi memastikan tempat ke pentas akhir?
Merungkai persoalan yang mula membeku dalam benak setiap daripada kita, Tok Ram punya pandangan tersendiri. Ikuti temu bual Mega HITS bersama pemuzik handalan tanah air.
MEGA HITS: Ada beberapa peserta yang kelihatan kaku, kekok dan belum bersedia untuk konsert pertama GV5? Apa sebenarnya yang membuatkan mereka ketar lutut sedangkan masing-masing mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam industri.
TOK RAM: Kegugupan mereka di atas pentas sebenarnya membunuh persembahan. Lagu yang mereka bawakan ada yang sudah lebih 20 tahun usianya. Lagu akan malar segar, tapi tidak manusia.
Kita ambil contoh Safura. Usianya sedikit membataskan keupayaannya. Ditambah pula dengan rasa gugup, dia menghadapi kesukaran untuk beri yang terbaik. Ada sesetengah mereka perlu kerja lebih keras.
Tok Ram marah? Kecewa dengan persembahan mereka? Atau tidak berpuas hati memandangkan masing-masing sudah bukan penyanyi baharu dalam industri?
Bukan saya marah, tak puas hati hatta geram sekalipun. Cuma anggaplah apa yang berlaku di konsert pertama ini sebagai satu pengajaran. Saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana gugup itu datang daripada diri mereka sendiri.
Apa yang saya dengar pada konsert pertama dan ketika raptai adalah sangat berbeza. Sayangnya, rasa gugup membataskan mereka. Sebagai contoh Zamani. Persembahan dia ketika raptai tiga kali ganda lebih baik daripada konsert pertama.
Dia bukan menyanyi sahaja tetapi meratap. Seperti Allahyarham Sudirman membuat persembahan. Saya rasa membazir sangat. Suara sedap dan berpengalaman, cuma mungkin sudah lama tidak buat persembahan di atas pentas besar.
Tapi ada peserta yang kita semua sedia maklum mempunyai pengetahuan muzik yang hebat, tetapi tidak dapat memberikan persembahan yang baik? Apakah sebabnya?
Seperti yang saya katakan, rasa gugup. Macam Dia Fadila, dari segi nyanyian tiada cacat cela kerana dia seorang guru vokal. Cuma kreativiti persembahan itu tidak ada.
Dia sekadar menyanyi sahaja. Patutnya dia beri lebih usaha untuk memberi warna dalam persembahan. Tapi kerana gementar, kita tak boleh buat apa. Mungkin tekanan di pentas itu juga satu faktor.
Kita lihat ada peserta yang kurang hebat dari segi vokal, namun berjaya menempatkan diri di kedudukan lebih tinggi. Apa kelebihan mereka sebenarnya?
Memang kita boleh lihat sendiri jurang markah antara satu sama lain. Perbezaan umur dan kekerapan persembahan juga merupakan faktor utama ada segelintir peserta kurang memberi.
Ada peserta yang mungkin pengetahuan muziknya tidak hebat tetapi mampu membuat persembahan yang hebat. Mereka semua penyanyi berbakat cuma atas pentas adalah penentuannya.
Amelina berjaya mendapat kedudukan teratas dalam konsert pertama jauh meninggalkan Elite di kedudukan terakhir. Apa kelebihannya?
Dia berjaya menguasai pentas dengan cara tersendiri. Cukup santai dan menghiburkan. Dari segi teknikal, biasalah ada sedikit cacat celanya cuma dia tahu, pentas itu dia punya.
Elite pula nampak gugup di atas pentas. Mungkin kali ini tiada yang tersingkir, jadi mereka perlu memberi fokus kepada beberapa aspek khususnya teknikal nyanyian dan persembahan.
GV5 kali ini menampilkan peserta berkumpulan dan duo. Tidakkah langkah itu memberi kelebihan kepada peserta solo?
Ada positif dan ada negatifnya. Kalau peserta berkumpulan atau duo berjaya dalam persembahan mereka, itu adalah satu markah bonus. Kalau harmoni mereka menjadi dan sama rata nyanyiannya.
Tapi kalau seorang buat salah, ahli kumpulan lain turut terlibat sama. Tak sama dengan peserta solo. Kalau dia buat salah, dia tanggung sendiri. Juri kena adil dalam memberi markah.
Bercakap tentang adil, bagaimana pembahagian markah yang adil untuk kumpulan?
Kita ambil contoh Forteen. Saya bagi markah yang agak tinggi kepada mereka kerana harmoni dan cara mereka membahagi nyanyian. Saya buang semua muzik dan hanya fokus nyanyian mereka.











