MENYUSURI Sungai Mekong dengan menaiki bot persiaran Angkor pada waktu senja adalah pengalaman amat indah terutama bagi sesiapa sahaja yang pertama kali melihat dan merasai suasana itu.
Pemandangan kota metropolitan Phnom Penh, Kemboja yang pesat membangun dengan latar belakang pelbagai bangunan pencakar langit, menjadi lebih menarik dengan adanya beberapa bangunan tinggalan penjajah yang jelas kelihatan dari Sungai Mekong.
Paling menyerlah ialah Royal Palace yang dibina pada 1917 dengan bumbung berwarna keemasan, Chaktomuk Conference Hall, Hotel Cambodiana serta kawasan tebingan Koh Pich yang menempatkan sebuah kompleks bangunan perniagaan baharu mirip reka bentuk Arc de Triomphe di Paris.
Hakikatnya, pemandangan indah yang itu hanyalah ‘bonus’ bagi 20 anggota rombongan program Kembara Kemanusiaan Kemboja 2018, ketika dalam perjalanan menuju ke Kampung Chapa Empov yang terletak di seberang Koh Pich – sebuah bandar baharu kira-kira tiga kilometer dari pusat bandar raya ini.
Program kembara itu dianjurkan Bank Rakyat dengan kerjasama Yayasan As-Syafie Malaysia.
MASYARAKAT SAMPAN
Ketika bot pesiaran yang dinaiki menghampiri satu kawasan yang terdapat banyak perahu di tebing sungai, anggota rombongan agak terkejut kerana tidak menyangka bahawa itulah destinasinya.
Kami akan menyantuni penduduk Kampong Chapa Empov yang merupakan ‘perkampungan’ di atas air itu.
Semakin menghampiri perkampungan air itu, kelihatan golongan ibu sibuk memasak hidangan malam, di atas perahu yang berukuran kira-kira 10 meter panjang dan dua meter lebar.
Golongan bapa pula bersiap sedia untuk menunaikan solat maghrib berjemaah di Masjid Al Ilm – masjid sampan berukuran 10 meter panjang dan 10 meter lebar.
Rutin harian penduduk perkampungan itu, yang majoritinya kalangan masyarakat Cham beragama Islam, adalah siang mencari rezeki dengan menangkap ikan di sungai dan sebelah malam pula masing-masing berada di sekitar masjid itu. Bayangkanlah mereka menjalani kehidupan begitu sejak kira-kira 40 tahun lalu.
Melihatkan raut wajah mereka, jelas masing-masing menyimpan pengalaman dan keperitan hidup yang terpaksa dilalui kesan daripada kekejaman rejim Pol Pot yang pernah memerintah selama empat tahun dari 1975 hingga 1979.
Ketika itu, kira-kira dua juta rakyat Kemboja dalam kalangan guru, peguam, doktor, wartawan, ahli agama atau sesiapa saja yang tapak tangannya licin akan dianggap sebagai golongan intelek.
Maka, mereka diseksa dan dibunuh, ada yang mati kebuluran, manakala yang terselamat pula mengalami kecacatan fizikal dan menderita serta terpaksa lari meninggalkan kampung halaman masing-masing. – BERNAMA











