KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus mendahului persaingan dalam mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti itu di Johor kelmarin.
Mohamed Azmin yang dicabar Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bagi merebut kerusi nombor dua parti itu memperoleh sebanyak 4,512 undi berbanding Rafizi mendapat 3,968 undi setakat pukul 6 petang semalam.
Bagaimanapun, keputusan di Johor masih lagi belum muktamad memandangkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) masih belum selesai mengira sejumlah undi dalam peti undi ragu.
Menurut Pengerusi JPP PKR, Datuk Rashid Din, keputusan pemilihan di Johor pada semua peringkat masih belum dapat dimuktamadkan kerana lebih 1,000 undi melibatkan peti undi ragu belum selesai dikira.
Beliau berkata, peti undi ragu merupakan senarai pemilih yang tidak mempunyai nama dalam sistem pengundian tetapi mendakwa mereka merupakan ahli PKR dan layak untuk mengundi.











