KUALA TERENGGANU 2 Okt. – Mana-mana calon yang bertanding dalam pemilihan PKR tidak boleh mencampuri urusan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebarang ketidakpuasan mengenai keputusan pemilihan parti perlulah diadukan bagi membolehkan jawatankuasa itu membuat siasatan menyeluruh.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa iaitu JPP untuk menyiasat sebarang dakwaan dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Saya tidak pernah mendesak mana-mana pihak kerana ini adalah persaingan dalam parti, dalam keluarga Keadilan dan ia mesti berjalan dengan baik, tertib dan tidak perlu menimbulkan ketegangan yang boleh memecahkan perpaduan parti,” katanya, di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pidato Malaysia Baharu sempena siri jelajah menjelang pemilihan parti di mana beliau sendiri akan bertanding mengekalkan jawatan Timbalan Presiden PKR.
Yang hadir sama, calon-calon Naib Presiden PKR iaitu Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Shamsul Iskandar Mohd. Akin di samping calon Timbalan Ketua Wanita, Dr. Daroyah Alwi.
Beliau mengulas dakwaan pencabarnya, Rafizi Ramli yang meminta JPP parti itu membatalkan keputusan pemilihan pusat cabang Labis di Johor.
Rafizi mendakwa terdapat campur tangan pengawas JPP yang mengundi bagi pihak anggota parti.
Mohamed Azmin terus mendahului pencabarnya dalam pemilihan di Johor apabila memperoleh 4,503 undi manakala Rafizi mendapat 3,976 di negeri itu.
Terdahulu beliau memenangi pemilihan parti itu di Pulau Pinang dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR, mengatasi cabaran Rafizi Ramli di negeri kelahiran Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mohamed Azmin menerima 3,326 undi berbanding Rafizi Ramli dengan 3,150 undi, sekali gus membolehkan beliau kini mendahului pesaingnya dengan hanya kelebihan 176 undi. – UTUSAN ONLINE











