KUALA LUMPUR 1 Okt. – Kematian bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd., Allahyarham Nazrin Hassan memasuki episod baharu apabila mahkamah memerintahkan kuburnya digali semula untuk bedah siasat kali kedua.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, perkara itu dilakukan selepas abang kepada Nazrin membuat laporan polis pada 24 September lalu berikutan tidak berpuas hati dengan laporan bedah siasat yang dikeluarkan pihak patologi, Hospital Kuala Lumpur.
“Susulan laporan tersebut, polis telah berbincang dengan Pengarah Pendakwaan Negeri untuk menggali semula kubur bagi melakukan bedah siasat tersebut.
“Permohonan dibuat pada 28 September lalu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan penggalian semula telah ditetapkan pada Isnin depan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Fadzil, proses itu dilakukan mengikut prosedur di bawah Seksyen 336 Kanun Tatacara Jenayah.
Dalam pada itu, Majistret Nor Ariffin Hisham ini membenarkan permohonan pegawai penyiasat kes itu menggali semula kubur Allahyarham bagi tujuan tersebut.











