Abdul Hadi sindir Anwar tidak konsisten - Utusan Malaysia

Abdul Hadi sindir Anwar tidak konsisten

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON 1 Okt. – Gelagat calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berdepan pengundi pelbagai kaum dianggap tidak menu­n­jukkan sikap konsisten dengan pegangan agama.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi contoh, Anwar menjadi imam ketika hadir di masjid, berpakaian seperti kaum Sikh di rumah ibadat mereka serta menari mengikut rentak lagu Tamil di hadapan pengundi India.

“Kita ada budaya kita. Orang Tamil (India) akan hormat kita kalau kita ada pendirian sendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Ceramah Perdana Pas di sini, malam tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Yang turut hadir, Naib Pre­siden Pas, Idris Ahmad; Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd. Salleh; Pesuruhjaya Pas negeri, Mustaffa Daharun dan calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar.

Abdul Hadi turut mempersoalkan mengapa Anwar tidak memilih untuk bertanding di kerusi majoriti Melayu seperti kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Sementara itu, Anwar dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH bagi PRK Parlimen Port Dickson di sini, hari ini berpendapat, tradisi Islam tidak menghalang umatnya untuk menghormati hak beragama masyarakat lain.

“Dahulu masa mereka dalam Pakatan Rakyat saya pergi boleh pula, malah dalam majlis di dewan-dewan di kuil, ramai juga orang Pas yang hadir ikut saya. Oleh itu, saya konsisten tak mahu ulas atau jawab kenya­taan Abdul Hadi kerana kebelakangan ini banyak pihak kritik nak serang saya, jadi saya tak mahu jawab.

“Apa yang penting kita harus sedar bahawa dalam tradisi Islam kita tidak menghalang untuk menghormati hak beragama, saya bukanlah hadir untuk bersembahyang di kuil, bukan juga hadir untuk me­ngiringi mereka bersembahyang di kuil, saya hadir dalam majlis kebudayaan di pekarangan kuil, jadi saya akan teruskan,” jelasnya.

Mengulas tentang mengapa tidak memilih untuk bertan­ding di kerusi majoriti Melayu se­perti Permatang Pauh, Presiden PKR itu berkata, demografi di Port Dickson yang melambangkan struktur rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum membuatkan beliau memilih kawasan Parlimen ini.

“Kalau saya bertanding di kawasan majoriti Melayu nanti mereka persoalkan kenapa saya tidak bertanding di kawasan yang terdiri daripada pelbagai kaum kerana saya sepatutnya menjadi pemimpin di negara yang terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini