Razlan sedih tiada wakil wildcard - Utusan Malaysia

Razlan sedih tiada wakil wildcard

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 1 Okt. – Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Ahmad Razali sedih dengan ketiadaan wakil wildcard negara dalam kelas Moto2 pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2018, bulan depan yang turut berpunca daripada keengganan pasukan tertentu melepaskan pelumba mereka.

Beliau turut hairan kenapa peluang keemasan bersaing dengan ramai jagoan dunia dalam GP ini dilepaskan begitu sahaja sedangkan SIC telah membuka pintu buat mereka seluas-luasnya malah sanggup membiayai kos persediaan pelumba wildcard itu.

“(Ketiadaannya berpunca daripada) gabungan (masalah) tiada pelumba dan yang dikehendaki – tidak dapat dilepaskan (oleh pasukan-pasukan tertentu).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika seseorang pelumba dapat berlumba dalam GP (wildcard Moto2) dunia di (Litar) Sepang, kenapa dilepaskan peluang keemasan ini?

“GP Malaysia tiada kena-mengena dengan kejuaraan lain. SIC cuma boleh sediakan peluang dan biayai kos pelumba wildcard ini tetapi kami tiada kuasa untuk pilih pelumba,” katanya.

Terdahulu beliau mengadakan mesyuarat penyelarasan dengan pegawai-pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Menara KBS di sini menjelang GP Malaysia di Litar Sepang dari 2 hingga 4 November ini.

Sekalipun enggan menamakan pasukan terlibat, kalangan pelumba yang mampu diberikan wildcard pada GP Malaysia nanti ialah yang beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Asia dan Kejuaraan Cub Prix Malaysia.

Mengenai kemerosotan prestasi pelumba negara dalam kelas perdana MotoGP, Hafizh Syahrin Abdullah baru-baru ini, katanya: “Saya risau sedikit apabila dia menghadapi masalah dengan jentera Yamahanya yang paling kurang berprestasi jika dibandingkan ramai pelumba Yamaha lain.

“Saya mungkin cuba merayu pasukannya, (Monster Yamaha Tech 3) untuk memberikan pakej jentera Yamaha yang setanding Johann Zarco dari Perancis khususnya bagi GP Malaysia di Sepang kerana ketika GP Aragon, bulan lalu, terdapat kekurangan prestasinya,” katanya.

Mengenai tiket GP Malaysia pula, katanya, sebanyak 80,000 keping sudah laris dan selain grandstand, SIC akan membuka jualan bagi hillstand G dengan jangkaan kira-kira 170,000 penonton hadir membanjiri Litar Sepang (sepanjang tiga hari perlumbaan).

“Satu daripada faktor utama tiket laris tahun ini ialah Hafizh Syahrin, (justeru) GP masih (merupakan) satu sukan yang menarik dan mengujakan,” katanya, merujuk GP Malaysia yang diperkenalkan pada 1991 dan sudah memasuki edisi ke-28 termasuk sejak berpindah ke Sepang pada 1999.

Malaysia turut memiliki seorang lagi wakil Moto2, Khairul Idham Pawi daripada Idemitsu Honda Team Asia dan Adam Norrodin dengan Petronas Sprinta Racing Team dalam Moto3.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini