JOHOR BAHRU 1 Okt. – Kebergantungan terhadap pekerja asing khususnya dalam sektor pembinaan bukan sahaja merugikan negara, malah menyebabkan banyak peluang pekerjaan dimonopoli golongan berkenaan.
Suatu ketika dahulu, sektor pembinaan yang sinonim dengan 3D, iaitu dirty, difficult and dangerous (kotor, sukar dan bahaya) kurang diminati dan diberi pendedahan kepada pelajar lepasan sekolah menengah dan golongan belia, namun kini semuanya telah berubah.
Ini kerana kerajaan telah mengambil pelbagai langkah proaktif bagi mengatasi isu berkenaan, termasuk menerusi penubuhan pusat penilaian dan latihan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang dikenali sebagai Akademi Binaan Malaysia (ABM).
Contohnya, ABM Wilayah Selatan hingga kini berjaya melahirkan seramai 88,751 pelatih mahir dan separa mahir sejak ditubuhkan di Jalan Tampoi, di sini pada tahun 2001.
Ketua Pegawai Operasi ABM Wilayah Selatan, Supian Musa berkata, akademi latihan itu menawarkan lebih 45 kursus jangka pendek berimpak tinggi, antaranya kerja bangunan, petroleum dan gas, operasi kren dan jentera tolak tanah, mekanikal dan elektrikal serta kerja awam.
Beliau berkata, tenaga pengajar di akademi berkenaan juga mempunyai pengalaman luas dalam sektor pembinaan bagi memastikan pelatih mendapat pendedahan secukupnya, bersesuaian dengan konsep pengajian ABM, iaitu 70 peratus praktikal dan 30 peratus teori.
“Lepasan akademi latihan ini yang mendapat pekerjaan turut meningkat daripada 71 peratus kepada sehingga 90 peratus sejak kita menjalankan program Perantisan Industri Pembinaan dengan kerjasama 40 syarikat di negeri ini tahun lalu.
“Ini bermakna selepas pelatih menamatkan kursus, mereka akan mengikuti program berkenaan selama tiga bulan dan akan terus diambil bekerja sekiranya memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh majikan,” katanya di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Supian berkata, pihaknya bercadang untuk memperkenal kursus-kursus baharu dalam bidang berkaitan pada masa depan selain memperkasakan kursus sedia ada.
“Kita bukan hanya memberi tumpuan bagi melahirkan tenaga kerja mahir dalam sektor pembinaan, malah turut memberi tumpuan dalam sektor lain seperti petroleum dan gas memandangkan negeri ini menempatkan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Kota Tinggi.
“Kursus berkaitan memang sudah ada, namun modul pembelajaran, kaedah latihan akan dipertingkat mengikut kesesuaian terkini serta kehendak pasaran,” katanya.
Seramai 250 pelatih ABM Wilayah Selatan akan menerima Sijil Kecekapan Kemahiran (SKK) masing-masing pada Majlis Graduasi ABM Wilayah Selatan yang berlangsung di Dewan Besar CIDB, di sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.











