LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) menuntut Yamaha menyediakan jentera terbaik buat Hafizh Syahrin Abdullah selepas pelumba Monster Yamaha Tech 3 itu gagal menampilkan aksi cemerlang pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).
Pelumba kebanggaan negara itu dilihat mempamerkan aksi terburuk dalam tiga perlumbaan lalu apabila gagal mengutip sebarang mata selepas bergelut dengan prestasi jentera Yamaha M1.
Masalah tersebut bukan sahaja dihadapi oleh Hafizh, malah rakan sepasukannya, Johann Zarco turut berdepan perkara sama apabila sekadar mampu menaiki podium tempat kedua sebanyak dua kali ketika di Argentina dan Sepanyol.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali ternyata risau dengan keadaan tersebut dan akan berbincang dengan Yamaha untuk memberikan jentera terbaik kepada Hafizh dalam baki lima perlumbaan musim ini.
“Sudah pasti saya risau dengan prestasi Hafizh kerana dia ketika ini bergelut dengan jentera Yamaha dan tidak lakukan yang terbaik sepertimana dilakukan pada separuh musim pertama. Jika kita lihat pada perlumbaan di Aragon dua minggu lalu, semua pasukan Yamaha gagal beraksi dengan sempurna.
“Rakan sepasukan Hafizh, Zarco juga sekadar di kedudukan ke-14. Kita tahu antara empat jentera Yamaha yang beraksi dalam saingan MotoGP, Hafizh menggunakan jentera yang tiada pakej lengkap berbanding pelumba lain.
“Oleh itu, Yamaha perlu menyelesaikan masalah ini dengan segera kerana masih terdapat lima baki perlumbaan dan mereka perlu membantu Hafizh menyediakan pakej jentera Yamaha yang setanding Zarco kerana selepas ini GP Malaysia akan berlangsung di Sepang bulan depan.
“Tahun depan pasukan negara, Petronas Yamaha Sepang Racing Team akan beraksi dalam saingan utama MotoGP dan menggunakan jentera Yamaha. Jadi dengan kerjasama ini Yamaha dapat menyediakan jentera terbaik buat Hafizh,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya semalam.
Buat julung-julung kalinya negara memiliki sebuah pasukan MotoGP menerusi tiga entiti yang menjalani kerjasama dengan SIC, Petronas dan Yamaha musim depan.
Selepas 13 perlumbaan, Hafizh kini menduduki kedudukan ke-18 selepas mengutip 24 mata pada penampilan sulungnya dalam kelas perdana tersebut.











