STATUS ucapan yang dimuat naik oleh penyerang Kelantan, Shafiq Shahrudin menerusi akaun Facebook dan Istagram peribadi miliknya tidak mempunyai kaitan dengan hala tujunya bersama The Red Warriors (TRW) musim depan.
Shafiq menjelaskan, status yang dimuat naik menerusi laman sosial miliknya itu hanya bersifat ucapan sejurus saingan Liga Malaysia (Liga M) tamat selepas TRW terkandas di peringkat suku akhir Piala Malaysia kelmarin.
“Tidak ada maksud untuk saya keluar daripada pasukan Kelantan (musim 2019). Lagipun saya belum memuktamadkan perjalanan karier bola sepak untuk musim depan,” katanya.
Status itu mengundang kegelisahan dalam kalangan penyokong Kelantan yang berharap pemain itu terus kekal menabur bakti di bumi Che Siti Wan Kembang.
Difahamkan, Shafiq masih mempunyai kontrak bersama TRW sehingga musim 2019 nanti.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berharap barisan pemain TRW tidak mengeluarkan sesuatu kenyataan hala tuju musim depan menerusi laman sosial peribadi sebelum berbincang dengan pihaknya.
Katanya, ia bagi mengelak berlaku salah faham sehingga memberikan kesan pada badan induk itu.
“Kita akan adakan satu majlis perjumpaan bersama pemain pada masa terdekat untuk melakukan perbincangan bagi musim depan.
“Setakat ini hanya dua pemain yang telah tamat kontrak bersama kami, namun KAFA telah menawarkan sambungan kontrak untuk kekal bersama kami,” ujarnya.











