SEORANG pengguna Jalan Beserah hingga Chendor dekat Kuantan risau memikirkan laluan itu yang terlalu sesak untuk menampung kenderaan terutama semasa waktu puncak. Apatah lagi dia mendapati statistik menunjukkan laluan berkenaan mencatatkan kadar kemalangan maut yang tinggi setiap tahun.
Dia mahu mencadangkan supaya Jabatan Kerja Raya menaik taraf jalan berkenaan daripada dua lorong kepada empat lorong. Mujur dia dapat mengemukakan aduan itu menerusi portal aduan.wanrosdy.com. Sekurang-kurangnya dia boleh menyuarakan kebimbangan dan cadangannya kepada pihak berkaitan.
Portal aduan.wanrosdy.com adalah salah satu inisiatif dalam pembaharuan pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sistem aduan dalam talian yang dilancarkan pada 5 September lalu itu diperkenalkan selepas Wan Rosdy menerima pelbagai aduan mengenai permasalahan masyarakat menerusi Facebook rasminya. Namun tidak semestinya aduan yang dikemukakan di laman sosial itu sah. Dalam kira-kira 30,000 pengikutnya di Facebook, pasti ada yang menggunakan akaun palsu.
Jadi, kewujudan portal aduan rakyat berkenaan secara langsung dapat menjamin kebenaran aduan berbanding yang diterima di Facebook. Hal ini kerana semua pengadu perlu mengikuti langkah yang ditetapkan seperti mengisi nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon bersama aduan yang ingin disampaikan. Butiran peribadi yang lengkap semestinya menjadikannya lebih efektif. Kaedah ini lebih genuine memandangkan identiti sebenar pengadu diketahui.
Pada masa sama, maklumat mengenai aduan dapat disampaikan lebih cepat dan telus kepada jabatan serta agensi yang terlibat. Setiap aduan yang dikemukakan akan diambil perhatian oleh kerajaan negeri dan menghantarnya kepada pihak berkaitan. Lebih penting, Wan Rosdy sendiri telah mengingatkan supaya setiap jabatan dan agensi terlibat mengambil serius tentang aduan yang diterima supaya dapat mewujudkan satu kaedah penyelesaian aduan yang terbaik untuk rakyat.
Sehingga kelmarin, laporan statistik menunjukkan portal aduan.wanrosdy.com menerima sebanyak 231 aduan. Jumlah yang dihantar kepada agensi dan jabatan terlibat pula adalah sebanyak 172. Daripada jumlah itu, 53 aduan mendapat maklum balas daripada agensi atau jabatan berkaitan.
Penduduk di negeri ini seharusnya merebut peluang dengan kewujudan portal aduan tersebut untuk mengemukakan sebarang aduan tentang urusan harian berkaitan jabatan dan agensi kerajaan. Jangan hanya ‘bising’ di luar dan hanya tahu mengeluh tetapi tidak mahu menyampaikan masalah atau pandangan ke saluran yang betul.
Selepas menghantar aduan, pengadu sewajarnya beri masa kerajaan negeri memprosesnya untuk mengenal pasti jenis aduan bagi disalurkan kepada pihak yang bertanggungjawab sepertimana yang dijanjikan mereka. Perlu juga difahami bahawa terdapat perkara yang mungkin tidak dapat diselesaikan segera. Sudan tentu ada aduan yang dapat diselesaikan dan ada yang di luar keupayaan kerajaan negeri.
Apa yang penting adalah penyertaan setiap lapisan masyarakat di negeri ini untuk memanfaatkan kewujudan portal aduan.wanrosdy. com. Ia sekali gus membentuk hubungan yang lebih erat antara orang ramai dengan Kerajaan Negeri Pahang di samping menawarkan satu perkhidmatan yang telus dan segera. Akhirnya, usaha ini adalah sejajar dengan hasrat Wan Rosdy untuk membangunkan Pahang menerusi dasar yang berpusatkan rakyat.











