KUALA LUMPUR 1 Okt. – Sektor kewangan Malaysia masih stabil walaupun menghadapi cabaran dan isu fiskal kerajaan yang disebabkan oleh ketirisan kerajaan sebelumnya.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sektor perbankan Malaysia juga mempunyai modal yang baik dengan jumlah pinjaman tidak berbayar yang rendah manakala pasaran modal kekal kukuh dengan modal yang stabil dan mudah tunai yang tinggi.
“Kami ingin menyatakan penghargaan kami kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kerana menyumbang ke arah pasaran modal yang stabil melalui rangka kerja dan agenda pengawalseliaan yang dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Tan Sri Ranjit Ajit Singh.
ICDM adalah badan yang ditubuhkan oleh SC untuk meningkatkan profesionalisme dan keberkesanan pengarah korporat di negara ini dengan objektif untuk mempromosikan kecemerlangan, integriti dan tahap kemahiran dan kecekapan profesional yang tertinggi.
Guan Eng berkata, institut tersebut adalah langkah ke hadapan untuk meningkatkan prestasi, kebertanggungjawaban, ketelusan dan lembaga pengarah yang lebih inovatif serta pelbagai.
Sementara itu Ajit Singh berkata, ICDM menawarkan suite penuh perkhidmatan yang meliputi keperluan pembangunan profesional pengarah, penilaian keberkesanan lembaga pengarah serta pendaftaran untuk syarikat mendapatkan calon-calon bagi lembaga pengarah mereka.
Dalam perkembangan lain Guan Eng berkata, kerajaan berharap dapat menerima respon positif daripada industri pembangunan hartanah menjelang hujung bulan ini bagi mengurangkan harga rumah.
“Ia lebih adil jika penjimatan daripada pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas perkhidmatan pembinaan diberikan kepada pengguna,” katanya.











