Ikan gapi sumber rezeki - Utusan Malaysia

Ikan gapi sumber rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS 1 Okt. – Siapa kata membela ikan sekadar hobi semata-mata!

Bagi seorang juruteknik komputer kegilaannya membe­la ikan gapi bukan sekadar hobi pada awalnya tetapi kini menjadi sumber rezeki buat menambah pendapatan sampingan.

Che Mohamad Asyraf Che Hussin, 32, berkata, dia sama sekali tidak menyangka minat yang berputik sejak kecil itu membawa tuah padanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, pada masa kini, minat orang negeri ini terhadap kecantikan ikan gapi ini sema­kin memuncak apabila mereka sanggup ber­belanja besar bagi mendapatkan baka yang terbaik.

“Kadangkala, saya tidak menang tangan apabila peminat da­ripada pelbagai kawasan da­tang untuk mendapatkan ikan ini.

“Pasaran ikan gapi ini tidak terhad di Kelantan sahaja, malah ia sudah menjangkau sehingga ke Sabah dan Sarawak,” katanya di sini hari ini.

Anak kelahiran Kampung Teliar, Bunut Susu itu memberi­tahu, harga sepasang ikan gapi ini boleh mencecah sehingga RM500 sepasang.

Katanya, sehingga kini dia mempunyai lebih 20 spesis ikan gapi antaranya Redlise, Moscow Blue, Moscow Black, Yellow Tuxedo, HB Blue dan banyak lagi.

Che Mohamad Asyraf berkata, gelagat seekor ikan gapi yang suka ‘menunjuk-nunjuk’ apabila mengembangkan ekornya yang berwarna-warni membuatkan hatinya menjadi tidak keruan.

Katanya, walaupun dianggap ‘pelik’, namun kecantikan ikan gapi itu seolah-olah satu terapi buatnya.

“Setelah penat bekerja membaik pulih komputer, saya akan turun melihat ikan-ikan gapi yang dibela ini.

“Dapat melihat gelagat ikan berenang-renang sambil memperagakan ekornya sudah membuatkan saya gembira kera­na ini satu hiburan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini