Pusat Perubatan Telipot (TMC) bukan sekadar hospital pakar pertama dimiliki sebuah koperasi, tetapi ia dibangunkan hasil usaha keras Koperasi Warga Universiti Sains Malaysia Kelantan Berhad untuk bangkit daripada kegagalan lampau.
SETAHUN lalu, setiap kali melalui Jalan Telipot untuk ke bandar Kota Bharu, Kelantan, pandangan Siti Rabwatin Jusoh, 26 tahun, tidak pernah terlepas daripada memandang sebuah bangunan tiga tingkat yang tersergam di situ yang bakal dibangunkan sebuah hospital pakar.
Perasaan ingin tahun seringkali timbul dalam dirinya mengenai apakah bentuk rawatan yang bakal ditawarkan dan adakah orang sepertinya mampu untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di situ.
Kini, selepas setahun berlalu, Siti Rabwatin yang merupakan seorang suri rumah antara pelanggan terawal yang mendapatkan perkhidmatan rawatan kesihatan di Pusat Perubatan Telipot (TMC) selepas beroperasi pada 8 Ogos lalu.
“Saya memang telah memasang angan-angan untuk melahirkan anak sulung di sebuah hospital pakar.
“Sebaik sahaja TMC memulakan operasinya, saya terus ke sini untuk bertanyakan mengenai perkhidmatan yang ditawarkan.
“Ternyata, apa yang ada di TMC sangat memuaskan hati. Tambahan pula, kadar bayaran yang dikenakan adalah berpatutan dan tidak semahal hospital pakar swasta yang lain walaupun kesemua doktor yang bertugas di sini adalah tenaga pakar,” katanya.
Wanita itu yang tinggal di Kampung Demit, Kubang Kerian, Kota Bharu telah berkunjung ke situ sebanyak dua kali bagi mendapatkan rawatan pemeriksaan kehamilan. Dia dijangka melahirkan anak sulungnya pada penghujung September ini.
Pembukaan TMC turut memberi peluang kepada seorang lagi penduduk tempatan Kota Bharu, Ras Alimi Roslan, 29, yang merupakan seorang kontraktor untuk mendapatkan rawatan kesihatan daripada doktor pakar pada kadar yang lebih rendah.
“Sejak TMC beroperasi, ramai penduduk tempatan khususnya golongan berpendapatan rendah datang ke sini untuk mendapatkan rawatan.
“Mungkin kerana caj yang dikenakan rendah menyebabkan ia mula menjadi tumpuan,” katanya dia telah beberapa kali berkunjung ke TMC untuk mendapatkan rawatan pesakit luar termasuk menjalani rawatan pemeriksaan kesihatan penuh.
TMC sebenarnya merupakan sebuah hospital pakar yang dimiliki oleh Koperasi Warga Universiti Sains Malaysia Kelantan Berhad (Coopusma).
Coopusma mempunyai ahli seramai 3,000 orang dan ia juga muncul sebagai hospital pakar pertama yang dimiliki dan dioperasikan oleh sebuah koperasi di negara ini.
Transformasi
Pengerusinya, Prof. Madya Dr. Mohamed Saat Ismail berkata, TMC wujud hasil usaha keras kakitangan dan ahli koperasi berkenaan selepas pernah gagal dalam perniagaan sebelum ini.
Coopusma yang sebelum ini dikenali sebagai Koperasi Kakitangan Universiti Sains Malaysia Kelantan Berhad sering mengalami kerugian dengan prestasi yang merudum pada lima tahun pertama penubuhannya sejak tahun 2000.
“Selepas dilantik sebagai pengerusi dan diberi tanggungjawab membangunkan semula koperasi, saya telah melakukan transformasi terhadap cara pemikiran ahli dan corak bekerja kakitangan dengan menerapkan konsep business unusual dan think out of the box bagi membolehkan kami keluar daripada kepompong kegagalan.
“Bermula dengan menawarkan perkhidmatan kemudahan kredit kepada ahli selain bidang peruncitan menerusi pasar raya mini CoopMart, kini Coopusma telah mempunyai lebih 10 cabang perniagaan dalam pelbagai sektor.
“Coopusma juga telah berjaya menerima anugerah koperasi terbaik seluruh Malaysia bagi sektor pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan sempena sambutan Hari Koperasi Negara pada tahun 2014,” katanya.
Idea
Mohamed Saat yang merupakan pensyarah di Pusat Sains Kesihatan USM berkata, idea mewujudkan hospital tersebut timbul berdasarkan hasil perbincangan ahli lembaga pengarah yang merasakan Coopusma perlu menggunakan kelebihan ahlinya yang sebahagian besar terdiri daripada petugas industri kesihatan untuk diterap ke dalam perniagaan baharu.
Justeru, Coopusma telah menjalinkan kerjasama dengan Koperasi Doktor Pakar Perubatan dan Kesihatan Kelantan Berhad dengan pihak ketiga iaitu pemilik sebuah bangunan di Kota Bharu bagi merealisasikan impian membuka sebuah hospital pakar dengan Coopusma merupakan pemegang saham tertinggi iaitu sebanyak 51 peratus.
“Disebabkan proses pengubahsuaian bangunan dan kerja-kerja pemasangan peralatan penghospitalan memakan masa selain mengambil kira masa selama dua tahun untuk mendapatkan kelulusan operasi daripada Kementerian Kesihatan, TMC hanya dapat memulakan operasi secara rasmi pada 8 Ogos lalu.
“Kami sangat berbangga kerana dengan adanya TMC, Coopusma muncul sebagai koperasi pertama yang mengoperasikan sebuah hospital pakar di negara ini,” katanya.
Bercakap mengenai kemudahan di hospital tersebut, Pengurus TMC, Mohammad Fauzi Zakaria pula berkata, bangunan hospital setinggi tiga tingkat itu menempatkan pelbagai kemudahan rawatan termasuklah bilik rawatan kecemasan, bilik rawatan pesakit luar, wad pesakit dengan 14 buah katil, dewan bedah, dewan bersalin, bilik rawatan bayi, bilik x-ray dan ultrasound, tiga bilik rundingan selain dua buah klinik untuk rawatan sakit puan dan pediatrik.
“Walaupun belum beroperasi pada keupayaan penuh, tetapi TMC mempunyai satu kelebihan berbanding hospital pakar yang lain kerana kami mampu melakukan rawatan melibatkan hampir semua disiplin perubatan dan rawatan.
“Ia adalah hasil kerjasama strategik antara TMC dengan USains Holding, sebuah anak syarikat milik Universiti Sains Malaysia bagi mendapatkan kebenaran untuk menggunakan segala kemudahan peralatan dan mesin perubatan canggih yang terdapat di Hospital USM (HUSM).
Curah kepakaran
“Bukan semua hospital pakar swasta yang ada di negara ini memiliki mesin-mesin perubatan tersebut merangkumi semua sektor perubatan kerana kosnya yang sangat tinggi sehingga berjuta-juta ringgit.
Malah, menurut Pengerusi Koperasi Doktor Pakar Perubatan dan Kesihatan Kelantan Berhad, Prof. Madya Dr. Azreen Syazril Adnan, seramai 27 orang doktor subpakar yang merupakan ahli koperasi tersebut juga sanggup mencurahkan kepakaran untuk membantu TMC pesakit merangkumi lebih daripada 10 disiplin perubatan.
“Sebagai ahli koperasi, kami sentiasa memberi keutamaan untuk berkhidmat dengan koperasi dan bersedia untuk menawarkan kepakaran bagi merawat para pesakit kami di TMC pada bila-bila masa.
“Malah, kami juga mempunyai akses yang sangat luas untuk menggunakan kemudahan yang terdapat di HUSM memandangkan kami turut berkhidmat di hospital berkenaan dalam pelbagai bidang dan jabatan,” katanya.
Kata beliau, TMC turut mempunyai 25 orang doktor sambilan yang akan berkunjung ke hospital pakar tersebut bagi memberikan rawatan dan khidmat rundingan kepada pesakit.











