PETALING JAYA 1 Okt. – Seramai 33 orang ibu tidak bekerjaya atau suri rumah sepenuh masa secara sukarela menyertai kumpulan pengasuh sementara kepada anak-anak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 di sini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kumpulan ibu sokongan tersebut diwujudkan sebagai sebahagian daripada Kumpulan Sokongan Komuniti Penjagaan Kanak-Kanak PPR tersebut.
Katanya, 15 daripadanya telah mendapat latihan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menjadi pengasuh bertauliah menguruskan kanak-kanak yang perlu ditinggalkan sementara oleh ibu bapa mereka.
“Harapan saya agar komuniti PPR dapat bekerjasama antara satu sama lain dalam menjayakan perkhidmatan yang ditawarkan untuk menangani isu sosial dalam kalangan penduduk.
“Kita tidak mahu lagi mendengar kemalangan jiwa seperti kanak-kanak berusia tiga tahun yang terjatuh dari tingkat 17 di PPR Kota Damansara kerana ditinggalkan sendirian di rumah” katanya alam Program Mendaya Komuniti di sini semalam. – UTUSAN ONLINE











