KUALA LUMPUR 1 Okt. – Pelakon Fattah Amin menafikan dakwaan pihak ketiga bahawa dia tidak lagi aktif mempromosikan produk makanan kesihatan iaitu MRP Sup DIET & Berrytox, yang didaftarkan di bawah syarikat MRP International Sdn. Bhd.
Fattah, 28, menerusi kenyataan yang dikeluarkan melalui syarikat pengurusannya, Universal Music Malaysia berkata, mereka kini sedang mendalami polemik yang melandanya.
“Saya terkejut dengan tuduhan ini. Saya tidak akan menipu peminat dan penyokong saya dengan mempromosikan sesuatu yang saya sendiri tidak percaya.
“Saya sedang bekerjasama dengan syarikat pengurusan untuk menyelesaikan masalah ini. Sebarang kenyataan rasmi tentang isu ini akan saya berikan melalui pihak Universal Music Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Fattah menjelaskan bahawa Universal Music Malaysia bersama pihak peguam akan terus memantau dan berusaha menyelesaikan isu yang dibangkitkan terhadap MRP International dan beberapa klien lain yang telah menandatangi kontrak dengan bekas pihak pengurusannya sebelum ini.
“Pihak kami juga memandang serius tentang beberapa urusan yang dilakukan tanpa kontrak rasmi atau dalam pengetahuan pihak peguam. Sebarang keterangan lanjut akan kami maklumkan dalam kadar segera,” katanya.
Baru-baru ini, timbul dakwaan daripada pihak peminat yang mendaftar sebagai agen produk tersebut mengatakan Fattah sudah tidak aktif mempromosikan produk berkenaan. Malah, pihak syarikat tersebut juga dikatakan seolah-olah mendiamkan diri tanpa sebarang penjelasan lanjut. – UTUSAN ONLINE.











