BINTULU – Malang menimpa seorang lelaki selepas lori tangki minyak sawit yang dipandunya hilang kawalan lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 50 meter di Jalan Samarakan di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu, mengakibatkan mangsa, Zamry Manan, 41, meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 10.48 pagi.
Jelasnya, sejurus itu, sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi menyelamat.
“Apabila tiba di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah lori yang membawa muatan minyak sawit berada di dalam gaung di bahu jalan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa dalam keadaan tersepit di tempat duduk pemandu sebelum anggota bomba bertindak melakukan operasi mengeluarkan lelaki malang itu,” katanya etika dihubungi hari ini.
Ling Hii menambah, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut
“Operasi tamat pada pukul 12 tengah hari selepas mayat mangsa dibawa ke Hospital Bintulu,” katanya. – K! ONLINE











