KANGAR 1 Okt. – Bekas Ketua Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner, Noor Mushar Mohd dilantik sebagai Ketua Polis Perlis baharu berkuat kuasa hari ini.
Noor Mushar yang berasal dari Kuantan, Pahang itu menggantikan Datuk Azisman Alias yang ditugaskan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.
Majlis serah terima tugas yang berlangsung di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis itu disaksikan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM, Datuk Seri Tajudin Md Isa.
Untuk rekod, Noor Mushar, 58, yang sudah berkhidmat selama 37 tahun di dalam PDRM pernah bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Perlis sebelum ditukarkan ke Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana, Maktab PDRM Kuala Lumpur, Ogos tahun lalu.
Sementara itu, Noor Mushar ketika ditemui mengakui terkejut apabila dapat kembali bertugas di negeri ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan diberikan kepimpinan PDRM kepada saya memegang jawatan ini. Buat permulaan, saya akan memberi fokus kepada isu di sempadan negara khususnya kegiatan penyeludupan daun ketum.
“Dalam tempoh terdekat, saya akan berjumpa Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) negeri bagi membincangkan isu ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE











