PULAU PINANG 1 Okt. – Seorang bekas pekerja kilang terselamat daripada hukuman gantung selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini atas kesalahan mengedar ganja kira-kira tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan berlakunya kes ‘prima facie’ dalam pendakwaan tersebut.
Berdasarkan pertuduhan pindaan, tertuduh, Mohamad Bakri Mazlan, 25, bersama dua lagi yang masih bebas dituduh mencapai niat bersama dengan memperedarkan dadah berbahaya iaitu kanabis atau ganja seberat 447,032.5 gram.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 6 pagi, 23 Mei 2015 di tepi tapak pembinaan Angsana Senja Aman, Teluk Bahang, dalam daerah Barat Daya di sini.
Untuk itu, tertuduh telah didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum gantung atau dipenjara seumur hidup selain dikenakan tidak kurang daripada 15 sebatan jika tidak digantung.
Pada prosiding berkenaan, pihak pendakwaan turut memanggil lapan orang saksi termasuk suspek kedua yang melarikan diri sebagai saksi awam.
Terdahulu, dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata, tertuduh tiada pengetahuan mengenai dadah serta tiada milikan dan bukan pemilik dadah tersebut.
“Berdasarkan keterangan daripada saksi pendakwaan kelapan, tertuduh hanya menerima arahan daripada seorang individu dan menurut arahan tersebut dengan hanya mengambil 12 bungkusan yang terdiri daripada barang-barang seludup untuk dibawa ke dalam lori tanpa mengetahui bungkusan tersebut adalah dadah,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Emma Syafawati Abdul Wahab manakala tertuduh diwakili peguam, Hussaini Abdul Rashid.-UTUSAN ONLINE











