Pukauan konsert Joox - Utusan Malaysia

Pukauan konsert Joox

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINERGI yang ditampilkan Dayang Nurfaizah, Joe Flizzow, Aizat Amdan dan Akim and The Majistret pada konsert Tremendous Joox baru-baru ini membuatkan Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur gemuruh dengan tepukan daripada 2,000 audiens yang hadir.

Kemunculan penyanyi muda semakin meningkat naik seperti Ismail Izzani, Aziz Harun, Farisha Irish dan artis berketurunan Cina Uriah See turut memberikan persembahan bertenaga dan menghiburkan. Menariknya, kehebatan mereka di pentas itu turut disaksikan lebih 33,000 tontonan secara dalam talian menerusi aplikasi penstriman muzik Joox.

Aziz Harun membuka tirai persembahan menerusi single Senyum, That’s What I Like dan Jangan, manakala Joe menutup tirai konsert dengan lagu-lagu Sampai Jadi, Drop dan Apa Khabar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ismail Izzani menghiburkan peminat dengan tiga buah lagu Sabar, Perfect dan Luar Biasa, Uriah See pula mencuri perhatian menerusi lagu Di Matamu, lagu popular Sufian Suhaimi selain Now or Never, manakala Farisha Irish membawakan lagu Siti Sarah, Semakin, Tak Malu dan Mantan Terindah.

Energi luar biasa Akim and The Majistret

Kumpulan Akim and The Majistret tampil dengan energi dan lontaran vokal yang luar biasa ketika mempersembah lima buah lagu hits – Terlalu Mudah, Lagu Untuk Laila, Rampas, Obses dan Potret.

“Jiwa seorang pemuzik memang beginilah… sentiasa mahu berkarya dan menghiburkan peminat dan di pentaslah kami lepaskan geram,” kata Akim Ahmad.

Bercerita tentang single baharu mereka berjudul Rampas yang kali pertama diperdengar pada malam itu, Akim berbesar hati dan terharu apabila lagu yang liriknya ditulis oleh isterinya, Stacy mendapat sambutan peminat.

“Melodi Rampas sudah siap setahun yang lalu, namun bila arwah ibu saya meninggal dunia, saya tidak mampu meneruskan lirik lagu tersebut kerana masih bersedih kehilangan orang yang paling disayangi.

“Jadi kami sepakat meminta Stacy menulis liriknya. Saya mahu dia buat lagu ini sebab dia ada ayat-ayat jalanan yang sesuai dengan lagu-lagu kami.

“Tulisan sentuhannya itu bagi saya sangat hebat maknanya,” kata Akim.

Persembahan santai Dayang Nurfaizah

Meskipun muncul pada persembahan kedua terakhir, Dayang Nurfaizah mendapat tepukan paling gemuruh dengan menyampaikan tiga buah lagu hits Di Pintu Syurga, Dayang Sayang Kamu versi remix dan Lelaki Teragung.

Bertemu dengan penyanyi ini usai acara tamat, jelas Dayang Nurfaizah, dia berpuas hati dengan persembahannya pada malam itu kerana berpeluang turun dari pentas dan berinteraksi dengan lebih dekat bersama-sama peminat.

“Saya sukakan sebuah persembahan yang santai dan tidak terlalu formal kerana saya dapat mendekati peminat, malah seronok melihat mereka yang sporting menyanyi dan menari,” kongsinya.

Dalam pada itu, Dayang Nurfaizah menyatakan keinginannya untuk mengadakan sebuah konsert solo, namun perbelanjaan yang besar membataskan niat tersebut.

“Tetapi saya positif, kalau ada rezeki dan ada yang bermurah hati mahu berkerjasama, mengapa saya lepaskan peluang?” katanya yang julung kalinya mengadakan konsert di Singapura pada Januari lalu.

Quartet Aizat menjadi

PERCUBAAN sulung Aizat Amdan dengan menyampaikan seleksi lagu Hari-Hariku, Sampai Ke Hari Tua dan Hanya Kau Yang Mampu diiringi instrumen quartet nyata menerima pujian penonton.

“Saya belum pernah lagi melihat penyanyi menyanyi sambil memetik gitar dan diiringi instrumen quartet.

“Alhamdulillah, saya lega ‘pertaruhan’ pertama ini menjadi dan mendapat maklum balas positif biarpun pada awalnya gementar dengan keputusan itu,” ujarnya.

Sementara itu, Aizat, 29, yang menyedari tubuhnya kembali berisi berhasrat mahu menurunkan berat badan sebelum penutup tahun ini dengan mengubah corak pemakanan sihat dan seimbang.

Beberapa tahun lalu, Aizat berjaya menurunkan berat badan daripada 113 kilogram (kg) kepada 78 kg. Dek sukar mengawal nafsu makan, berat badan Aizat naik mendadak sehingga cecah 88 kg dan angka itu tidak sesuai dengan ketinggiannya.

Menurut Aizat yang menyasarkan untuk menurunkan berat badan sehingga 75 kg, dia juga berkongsi tips dan proses penurunan berat badan dalam vlog Aizat di YouTube dan mengharapkan bagi perkongsian itu memberi manfaat.

“Ada saja orang tinggalkan komen dan kritik cara saya turunkan berat badan itu salah. Bagi saya, nak kurus tiada jalan pintas, malah saya juga tidak mengambil sebarang suplemen untuk turunkan berat dengan cepat,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini