KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon supaya empat pertuduhan kes pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang dihadapi Muhammad Shafee dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Perkara itu dimaklumkan peguam Sarah Abishegam yang mewakili Muhammad Shafee ketika pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Raja Shahril Anuar Raja Baniamin di sini sebentar tadi.
Menurut Sarah permohonan yang difailkan pada minggu lalu itu atas alasan kes yang dihadapi anak guamnya membabitkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dalam prosiding semalam, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Afzaini Zam Abdul Aziz tidak membantah permohonan tersebut.
Berikutan itu, Raja Shahril Anuar menetapkan Rabu ini bagi pendengaran permohonan itu dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah.
Kosmo! Online pada 14 September lalu melaporkan Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta.
Muhammad Shafee, 66, yang juga peguam bela bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa menerima wang hasil aktiviti haram masing- masing sebanyak RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui sekeping cek milik Najib dan dimasukkan ke dalam akaun CIMB miliknya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank CIMB Taman Tunku, Bukit Tunku di sini pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat dia turut didakwa melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti haram apabila membuat penyata tidak betul serta bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 membabitkan jumlah sama.
Pertuduhan ketiga dan keempat itu didakwa dilakukannya di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Kerajaan, Jalan Tunku Abdul Halim di sini pada 3 Mac dan 29 Jun 2015.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di bawah Perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan Hasil Daripada Aktiviti Haram yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, Muhammad Shafee berdepan denda sehingga RM5 juta, denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau dipenjara maksimum 15 tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian menetapkan 2 Oktober ini untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE











