IPOH – Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd. (AirAsia) memperkenalkan laluan baharu kepada pelanggannya iaitu dari Johor Bahru ke Ipoh bermula hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat berkata, penerbangan sebanyak empat kali dalam tempoh seminggu itu menghubungkan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).
Katanya, pengenalan laluan penerbangan itu merupakan usaha berterusan AirAsia untuk menawarkan lebih banyak laluan domestik.
“Kami berbesar hati untuk melancarkan perkhidmatan penerbangan terus dari Johor Bahru ke Ipoh yang merupakan sebuah destinasi dinantikan dalam rangkaian laluan AirAsia.
“Selain penerbangan baharu ini, kami juga telah memulakan penerbangan terus dari Johor Bahru ke Alor Setar pada hari ini dan yakin kedua-duanya akan menjadi destinasi popular untuk percutian dan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menyambut ketibaan seramai 126 penumpang menerusi penerbangan AirAsia AK6082 di LTSAS hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing dan Ahli Lembaga Pengarah AirAsia, Datuk Aziz Bakar. – K! ONLINE











