KUCHING – Polis Sarawak berjaya menahan seramai 280 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram menerusi 224 serbuan yang dijalankan di sepanjang bulan lalu.
Kesemua serbuan tersebut telah dilakukan di daerah Kuching, Padawan, Sibu, Miri, Bintulu, Kota Samarahan, Bau, Betong, Limbang, Maradong, Kanowit, Marudi, Julau, Serian, Sarikei, Kapit, Mukah, Saratok, Sri Aman, Lundu, Lawas, Dalat, dan Song.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner, Denis Leong Soon Kuai berkata, daripada serbuan tersebut, 165 operasi melibatkan premis menjual nombor loteri haram.
Jelas beliau, 54 lagi serbuan dibuat di premis judian dalam talian, judi di tempat awam (3) dan masing-masing satu serbuan melibatkan judi dalam rumah serta aktiviti pertaruhan.
“Menerusi kesemua serbuan itu, polis berjaya merampas wang tunai berjumlah RM52,889 disyaki hasil daripada perjudian haram.
“Polis juga berjaya merampas sebanyak 74 unit telefon serta tablet yang dipercayai digunakan untuk menjalankan jenayah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Denis menambah, polis juga telah menjalin kerjasama dengan pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk ‘memutus’ bekalan elektrik di premis yang dipercayai digunakan sebagai pusat perjudian haram.
Katanya, polis juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu jika didapati terlibat dalam aktiviti perjudian haram.
“Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujarnya. – K! ONLINE











