PENJAGA gol hoki wanita negara, Farah Ayuni Yahya teruja kerana diberi kepercayaan bermain 70 minit penuh permainan untuk membantu pasukannya, Kelab Hoki East Grinstead (EGHC) menewaskan Beeston HC 2-1 pada aksi kedua Liga Divisyen Premier Investec kelmarin.
Ia merupakan satu penghormatan buat penjaga gol No. 1 Malaysian Tigress itu kerana aksi kelmarin merupakan debut pertamanya bersama pasukan dari West Sussex, England dalam saingan utama liga hoki negara ranking kedua dunia tersebut.
Ayuni, 29, mengakui cukup gementar sebelum perlawanan tersebut tetapi kejayaan meraih tiga mata dalam aksi pertama sememangnya meningkatkan tahap keyakinannya untuk terus menampilkan prestasi cemerlang selepas ini.
“Saya sangat gembira kerana berjaya membantu pasukan menang, lebih-lebih lagi selepas diberikan kepercayaan untuk bermain perlawanan penuh semalam (kelmarin) walaupun saya berada di sini tidak sampai seminggu.
“Pada mulanya memang rasa gugup kerana ini adalah perlawanan pertama tetapi saya ketepikan perasaan itu sebaik perlawanan bermula. Saya cuma fikir mahu bermain baik untuk membantu pasukan dan Alhamdulillah ia tercapai,” katanya kepada Kosmo! semalam.
EGHC yang meraih tempat ketiga saingan liga itu tahun lalu berjaya memperoleh dua gol menerusi jaringan padang Bridget Blackwood dan penyerang kebangsaan England, Sophie Bray masing-masing pada minit ke-23 serta 31.
Gol tunggal Beeston diperoleh menerusi pukulan sudut penalti Caroline Hanks pada minit ke-62.
Ayuni yang pernah ditabalkan sebagai Penjaga Gol Terbaik Trofi Juara-Juara Asia 2016 dan 2018, akan meneruskan perlawanan ketiga bersama EGHC menentang Subirton pada 6 Oktober ini.











