KETUA jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee menegaskan hala tuju Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) adalah lebih penting berbanding isu pemecatan Lim Teong Kim sebagai jurulatih B-16 negara.
KETUA jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee menegaskan hala tuju Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) adalah lebih penting berbanding isu pemecatan Lim Teong Kim sebagai jurulatih B-16 negara.
Meskipun Teong Kim telah dipecat daripada mengendalikan skuad remaja negara oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ekoran gagal merebut slot ke Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan, namun tugas beliau selaku Pengarah Akademi Bola Sepak Negara bersama NFDP masih berjalan seperti biasa.
Kim Swee menekankan nasib pemain muda tersebut adalah jauh lebih penting serta perlu diselesaikan segera kerana dikhuatiri akan mengganggu konsentrasi pemain selepas ini.
“Saya tidak suka untuk menyentuh berkenaan isu pemecatan atau melantik mana-mana jurulatih kerana ada perkara lain yang jauh lebih penting.
“Perkara yang lebih penting dan kita perlu tahu apabila berlaku situasi seperti ini adalah berkaitan arah tuju NFDP selepas ini.
“Pada masa sama, pemain NFDP di semua pusat latihan bukan sahaja di Gambang perlu kita fikirkan berkenaan nasib mereka selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Petaling Jaya baru-baru ini.
Sementara itu, FAM sebelum ini telah membuat satu kertas cadangan untuk melaksanakan program tersebut pada masa depan.
“Apa yang penting kita perlu cepat buat keputusan kerana kita tidak mahu apabila keputusan belum diputuskan pemain ini akan hilang arah tuju mereka.
“Dalam situasi ini, kita perlu fikirkan jalan penyelesaian terbaik secepat mungkin untuk kebaikan bola sepak bukan sahaja untuk NFDP tetapi buat negara,” ujarnya.
Bagaimanapun, keputusan terakhir berkenaan NFDP akan diumumkan pada 15 Oktober depan selepas mesyuarat khas jawatankuasa membabitkan Majlis Sukan Negara (MSN), FAM serta beberapa pihak berkepentingan bagi membincangkan hala tuju program tersebut.











