SKOPJE, Macedonia – Rakyat Macedonia mengundi semalam sama ada mahu menamakan semula negara mereka sebagai Macedonia Utara dalam usaha menyelesaikan perbalahan dengan jirannya, Greece sekali gus membuka laluan untuk Skopje menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta Kesatuan Eropah (EU).
Ia merupakan detik penuh emosi untuk Macedonia, sebuah negara yang berusaha mencari pengiktirafan sejak penubuhannya pada tahun 1991 apabila bekas negara Yugoslavia itu mengisytiharkan kemerdekaan.
Athens segera mengemukakan bantahan dan menuduh Skopje mencuri nama wilayah utara Greece yang juga bernama Macedonia.
Perbalahan mengenai nama itu mempunyai sejarah panjang dengan kedua-dua negara mendakwa menjadi tempat asal empayar kuno Alexander The Great diasaskan, Macedon yang kini merangkumi Greece dan Macedonia.
Bagaimanapun, pada Jun lepas, Perdana Menteri Macedonia yang baharu, Zoran Zaev dan rakan sejawatnya dari Greece, Alexis Tsipras bersetuju untuk bertolak-ansur.
Kompromi itu akan menyaksikan Athens membatalkan bantahan untuk Macedonia menyertai EU dan NATO sebagai pertukaran kepada perubahan nama tersebut.
Zaev mahu pungutan suara semalam dijadikan peluang untuk memecahkan kebuntuan selama 27 tahun itu.
“Hari ini adalah hari yang indah, hari yang indah untuk negara ini. Hari ini rakyat Macedonia akan keluar untuk menentukan masa depan mereka,” kata Zaev pada satu sidang akhbar selepas membuang undi di bandar kelahirannya, Strumica.
Sementara itu, pengundi mula memenuhi sekolah dan pusat membuang undi lain di seluruh negara yang dibuka seawal pukul 7 pagi (waktu tempatan).
“Saya harap referendum ini akan memberikan keputusan positif. Pungutan suara ini akan membawa perubahan jika ia membuka pintu untuk menyertai EU dan NATO,” kata bekas jururawat, Olivera Argirovska, 74, kepada agensi berita AFP selepas mengundi di sebuah sekolah tinggi di Skopje.
Referendum itu tidak terikat tetapi keputusan majoriti ‘ya’ akan memberikan mandat politik kepada Parlimen untuk mengubah perlembagaan negara. – AFP











