ZYNAKAL orangnya kecil molek, berkulit sawo matang dan penuh dengan humor. Tidak terasa kekok walaupun baru mengenalinya. Sama seperti penulis, mungkin ramai yang tidak mengenali lelaki berusia 20 tahun ini.
ZYNAKAL orangnya kecil molek, berkulit sawo matang dan penuh dengan humor. Tidak terasa kekok walaupun baru mengenalinya. Sama seperti penulis, mungkin ramai yang tidak mengenali lelaki berusia 20 tahun ini.
Meskipun baru dua tahun berkecimpung dalam industri muzik, Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli memiliki profil yang agak cemerlang.
Selepas bergelar komposer beberapa buah lagu popular seperti Sabar dendangan Ismail Izani, Bukan Yang Terbaik (Adzrin) dan penulis lirik lagu Terasa Cinta (Fara Hazel dan Aiman Tino), Zynakal akhirnya muncul dengan single pertamanya berjudul Terbang.
Menariknya klip video lagu Terbang ciptaannya bersama Sufian Suhaimi, Sabbala dan Faiz Ruzaini itu telah mencapai satu juta tontonan di YouTube dalam tempoh enam hari selepas dilancarkan di Hotel Galle Face, Colombo, Sri Lanka pada 19 September lalu.
“Saya tidak sangka dan terkejut dengan penerimaan luar biasa ini. Perasaan bercampur baur, gembira, terharu dan gementar semua ada. Sokongan yang diberi peminat membuktikan muzik saya diterima ramai dan keputusan untuk menjadi penyanyi adalah tepat,” katanya yang menceburi bidang muzik sebagai penyanyi rap.
Kongsinya sebelum ini dia lebih selesa bekerja di belakang tabir sebagai komposer. Bukan tidak berminat untuk bergelar seorang penyanyi tetapi kurang keyakinan diri kerana sedar dirinya tiada pakej sempurna daripada segi paras rupa.
“Saya sedar ada kekurangan dan tidak boleh buka mata orang dengan paras rupa. Malah ada netizen yang mengatakan wajah saya tidak kacak.
“Sebab itu saya dan label memberanikan diri membuat pelancaran lagu di luar negara sebagai gimik bagi memberi kelainan. Menerusi cara ini orang akan bercakap mengenainya dan sedar kehadiran saya sebagai penyanyi,” tuturnya yang bersedia untuk mengubah penampilan diri demi karier.
Oleh kerana langkah tersebut, pasti ramai beranggapan Zynakal merupakan anak orang berada sehingga mampu mengadakan majlis pelancaran single pertama sehingga ke Sri Lanka.
Menafikan perkara berkenaan, Zynakal yang merupakan anak seorang peguam mengatakan dia berusaha mencari penaja untuk merealisasikan gimik ‘mahal’ itu.
“Saya bukan anak orang kaya, sebaliknya berusaha mencari tajaan sehingga mampu sampai ke Sri Lanka. Kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa sebarang usaha,” ujarnya yang bernaung di bawah label Virtuosity Production.
Tumpang populariti
Bersahabat dengan ramai penyanyi popular seperti Ismail Izani, Sufian Suhaimi, Aiman Tino dan Haqiem Rusli, ada pihak menyelarnya mahu menumpang populariti mereka.
Bagaimanapun ramai yang tidak tahu, Zynakal telah bersahabat dengan barisan penyanyi popular itu sebelum mereka bergelar penyanyi lagi, terutamanya Ismail yang merupakan sahabat baiknya.
“Saya sudah lali orang kata saya mahu tumpang populariti rakan artis kerana sering dilihat bersama mereka dalam laman sosial. Kita tidak akan maju selagi sibukkan perkara remeh seperti itu.
“Kecaman dan kritikan akan sentiasa ada. Mana yang baik saya akan ambil untuk baiki diri. Komen negatif tidak akan dipedulikan. Sebagai penyanyi banyak lagi kerja lain yang perlu saya lakukan daripada terasa hati dengan komen netizen di laman sosial,” kata bekas pelajar Sekolah Seni Malaysia di Johor Bahru, Johor itu.
Selain itu satu fakta yang pada awalnya ingin disembunyikan Zynakal daripada umum adalah dia merupakan anak buah kepada penyanyi Zamani. Hal itu kerana dia mahu berdiri di atas kaki sendiri dan enggan menumpang populariti yang dimiliki Zamani.
Zynakal bagaimanapun pasrah apabila hubungannya dengan lelaki yang digelar Pak Su itu menjadikan nilainya sebagai anak seni lebih tinggi. Zamani merupakan adik bongsu kepada ibunya Zuraidah Ibrahim, 51, daripada tiga adik-beradik.
“Pada mulanya saya tidak mahu orang kenal saya sebagai anak buah kepada Zamani. Saya mahu berdikari dan orang kenal saya menerusi muzik yang dibawa.
“Selepas masuk dalam industri muzik secara serius, hubungan saya dan Zamani merupakan satu kelebihan. Tiada sebab untuk saya sembunyikan perkara tersebut. Zamani seorang legenda dan saya berbangga mempunyai bapa saudara sepertinya.
“Sejak kecil, dia selalu mendorong saya untuk mendalami bidang muzik. Saya gembira apabila beliau membuat kemunculan semula menerusi program Gegar Vaganza. Kami akan sama-sama menyokong dan jika tiada aral akan berduet dalam sebuah lagu pada masa depan” katanya yang mula menulis lagu sejak berusia 14 tahun.
Nakal
Beralih kepada pilihan nama pentas, penggunaan nama Zynakal sememangnya cukup unik, tetapi gabungan perkataan nakal di belakangnya itu meninggalkan persepsi bahawa dia merupakan seorang budak nakal.
Sengaja memilih nama berkenaan kata Zynakal, nama tersebut telah digunakan pakai sejak di bangku sekolah lagi. Malah nama tersebut telah digunakan ketika bergelar komposer untuk lagu Sabar.
“Saya sedar persepsi buruk orang kerana nama pentas itu. Namun, nama Zynakal telah digunakan sejak awal kemunculan saya dalam industri muzik sebagai komposer. Ramai orang sudah mengenali saya dengan nama tersebut.
“Jadi, lebih baik saya teruskan penggunaan nama itu. Ditambah dengan keunikannya membuat orang ramai lebih mudah mengingati nama saya dalam lambakan bakat generasi baru yang digelar BBNU (budak baru nak up),” luahnya.
Berbicara mengenai masa depan, Zynakal yang meminati Alifgram, Aman RA, Ali Gate dan Russ itu sebolehnya mahu menjadi penyanyi yang bersih daripada kontroversi. Melihat rakan-rakan baiknya dilanda kontroversi bertalu-talu membuatkannya takut akan realiti industri hiburan.
Disebabkan itu, Zynakal bersyukur rezekinya bergelar penyanyi tiba agak lewat berbanding rakan-rakan baiknya. Oleh kerana peluangnya lewat, Zynakal terlebih dahulu berpeluang mempelajari asam garam dunia seni.
“Jujur, saya takut dengan kontroversi kerana ia berlaku tanpa dipinta. Ada kontroversi boleh menaikkan nama dan ada yang menjatuhkan.
“Jadi, saya ambil jalan selamat dengan berhati-hati dan cuba menggelakkan diri daripada kontroversi. Saya harus menjaga pergaulan, dengan siapa saya berkawan dan tempat saya berada.
“Niat saya masuk industri hanyalah untuk orang dengar muzik saya dan demi kelangsungan hidup. Nyanyian satu pekerjaan yang serius, jadi saya tidak mahu jadi budak nakal dan hampakan kepercayaan keluarga, label serta peminat,” tutur Zynakal mengakhiri bicara.











