Bergelar seorang selebriti bermakna setiap gerak geri akan menjadi perhatian masyarakat dan itulah bayaran yang perlu dibayar oleh penyanyi baharu, Tajul Arif Md. Shari apabila dikatakan tidak beradab baru-baru ini.
Tajul, 20, yang hadir sebagai artis jemputan dalam program realiti I Can See Your Voice baru-baru ini telah dirakam oleh salah seorang peminat sedang bermain telefon sewaktu rancangan sedang berlangsung.
Rata-rata peminat mengecam adik kepada arwah vokalis kumpulan Spin, Achik, itu sebagai tidak menghormati rancangan serta mengambil tugasnya sambil lewa kerana kerana leka bermain telefon.
Namun begitu, pelantun Sedalam Dalam Rindu itu menafikan tuduhan tersebut dan memberitahu peminat tidak sepatunya membuat spekulasi melulu tanpa mengetahui situasi sebenar di pentas rakaman.
KOSMO!: Boleh jelaskan apa sebenarnya berlaku sewaktu rancangan itu berlangsung?
TAJUL: Isu saya bermain telefon sewaktu menjadi artis jemputan program I Can See Your Voice sebenarnya tidak seteruk yang disangkakan. Saya bukan sibuk membelek laman sosial tetapi ada mesej penting yang perlu dilihat. Malah, ia berlaku secara tidak sengaja kerana sebelum saya dirakam bermain telefon, program berehat untuk iklan. Saya tidak perasan iklan berakhir dan ternampak seperti saya sedang leka bermain telefon. Saya sedar dan tahu apa tujuan saya berada di situ jadi insiden itu bukan disengajakan.
Adakah anda berasa terkilan dengan tuduhan yang agak kasar bila dikatakan tidak beradab?
Saya sebolehnya enggan melayan kecaman-kecaman pengguna laman sosial kerana mereka memang akan sentiasa mencari salah setiap artis. Namun ingin saya tegaskan, saya bukanlah tidak beradab kerana ia berlaku secara tidak sengaja. Bagi saya, jika tidak beradab saya telah melakukan sesuatu yang kurang ajar dan dengan niat berlagak bagus.
Adakah pihak produksi program ada memberi sebarang taklimat sebelum anda bersiaran?
Ya, mereka memberitahu rancangan ini adalah santai dan saya tidak perlu terlalu serius. Saya juga ada bertanya adakah telefon dibenarkan dibawa bersama dan mereka mengizinkannya. Saya tahu ada sesetengah program telefon perlu diletak di tepi jadi saya tidak seteruk yang disangkakan kerana tahu peraturan.
Menyentuh berkenaan kerjaya anda, apakah perbezaan selepas anda menyertai program Big Stage?
Alhamdulillah, ia banyak memberi kesan positif kepada saya secara peribadi kerana membantu meningkatkan keyakinan diri dan meluaskan pandangan saya tentang dunia muzik. Biarpun tidak bertahan lama, tetapi saya bersyukur kerana berpeluang merasai pengalaman menyertai Big Stage.
Adakah anda mempelajari banyak ilmu baharu apabila menyertai Big Stage?
Ya, terutamanya teknik-teknik nyanyian kerana sebelum hanya tahu sedikit sahaja mengenainya. Saya akui saya tidak tahu langsung tentang penguasaan vokal dan ilmu nyanyian lain lagi kerana menyanyi hanya bersandarkan bakat yang ada. Menerusi Big Stage, saya lebih berkembang dalam banyak segi. Sebagai penyanyi baharu saya terima semua kritikan dan menjadikannya sebagai panduan untuk menjadi penyanyi yang lebih baik pada masa depan.











