Pengalaman melihat anak kecilnya tidak terurus ketika pulang daripada bekerja mendorong Rozita Kamil untuk membuka lima rangkaian tadika serta taska di bawah Murni Education & Care Sdn. Bhd.
SUARA riuh-rendah anak-anak kecil yang kedengaran dari sebuah rumah teres setingkat di Taman Golf Heights, Seremban, Negeri Sembilan membuatkan Rozita Kamil, 58, tersenyum meleret.
Belum sempat memasuki pekarangan Taska Ilham Kasih Murni itu, terdengar suara seorang kanak-kanak perempuan ceria menyapanya.
“Ummi!, Ummi!,” laung Hana, 4, salah seorang anak asuhan di pusat tersebut yang memanggil Rozita dengan gelaran Ummi.
Laungan Hana kemudian diikuti kira-kira 10 orang lagi anak-anak asuhan dalam lingkungan usia tiga hingga empat tahun.
Sambil tersenyum, laungan manja si cilik segera dibalas dengan ucapan salam sebelum kesemua kanak-kanak tersebut dihampiri dan dipeluk mesra.
Beliau menghampiri pula ruang kedua yang menempatkan bayi dalam lingkungan umur setahun.
Ditemani dua orang penjaga wanita bertudung, kelihatan tiga orang bayi sedang asyik bermain permainan kreatif berasaskan larutan tepung berwarna-warni.
Meskipun masih belum mengerti apa-apa, kemesraan ketika mengusap lembut kepala bayi itu persis belaian ibu membuatkan Rozita cukup disenangi si manja.
“Jangan bimbang serta terkejut melihat bayi di sini bermain dengan permainan ini kerana ia merupakan adunan tepung bersama air semata-mata dan tidak bahaya.
“Bukan sekadar mengisi masa lapang, ia sebenarnya merupakan sebahagian daripada modul yang disediakan di taska kami untuk merangsang kemahiran motor kanak-kanak seawal usia begini,” jelas Rozita memulakan bicara ketika ditemui di Taska Ilham Kasih Murni, di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Melayan anak asuhan bagaikan anak sendiri berserta dengan pengetahuan dan sikap penuh profesional.
Itu adalah antara resipi kejayaan Rozita, Pengasas merangkap Pengarah Urusan Murni Education & Care Sdn. Bhd. (Murni Childcare), sebuah syarikat yang mengelola perkhidmatan taska, tadika, juga latihan untuk pengusaha serta guru taska di seluruh negara.
Isu panas
Memiliki empat buah taska serta sebuah tadika di bawah rangkaian Murni Childcare, Rozita bukanlah nama asing dalam bidang asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak.
Kepakaran Presiden Pendidik Taska Tadika Malaysia itu sentiasa ditagih terutamanya apabila timbul isu panas berkaitan penderaan anak di taska waima mengenai psikologi guru tadika serta pembantu taska.
Pertemuan Kosmo! bersama Rozita baru-baru ini menyingkap kisah penglibatan awal serta pengalamannya sepanjang tiga dekad berada dalam bidang tersebut.
Menurutnya, kariernya pada hari ini adalah didorong oleh rasa bersalah terhadap anak keempatnya, Isa Md. Nor yang ketika itu berusia dua tahun (1990).
Pada tahun 1989, arwah suaminya, Md. Nor Md. Din yang selama ini banyak membantu menguruskan anak yang lasak membesar menyambung pelajaran ke Mesir.
“Demi membantu perniagaan keluarga di sebuah restoran di Seremban, saya terpaksa tinggalkan anak di rumah keluarga kepada pembantu rumah.
“Suatu hari, ketika pulang, saya melihat Isa berada dalam keadaan yang sangat tidak terurus.
“Bajunya kotor kerana sejak pagi tidak ditukar, lampinnya dipenuhi najis serta wajahnya yang tidak seceria selalu merentap jiwa saya sebagai seorang ibu,” imbaunya yang ketika itu berusia 25 tahun.
Tidak menyalahkan pembantu rumah sepenuhnya, Rozita bertekad menjaga sendiri anak-anaknya.
Pada masa yang sama, ia dapat membantu menambah pendapatan keluarganya.
“Sejak itu, saya yang hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia menjaga keempat-empat orang anak bersama tiga anak jiran di rumah sewa kami.
“Suami adalah orang yang paling gembira. Namun, saya sentiasa dipesan agar tidak sama sekali menjadikan ia sebagai perniagaan tetapi sebahagian daripada ibadah,” katanya yang menyifatkan tarikh 3 Disember 1990 sebagai permulaannya menerima anak asuhan.
Peringkat profesional Rozita bermula apabila kerajaan mewajibkan pengasuh untuk menjalani Kursus Asuhan Kanak-Kanak anjuran Jabatan Kebajikan.
Berbekalkan sijil yang membolehkannya membuka taska dan tadika berserta modal yang dikumpul hasil asuhan, beliau menyewa sebuah rumah di Taman Golf Heights (Taska Ilham Murni) untuk dijadikan taska berdaftar.
Ternyata percaturan itu berbaloi. Ramai ibu bapa di sekitar kawasan tersebut sememangnya memerlukan taska sebagai lokasi terbaik untuk meninggalkan anak-anak sewaktu bekerja.
Menggaji dua orang pembantu termasuk Penyelia Taska Ilham Murni, Evanali Jaharuddin yang masih setia bersamanya sehingga ke hari ini untuk menguruskan taska pertamanya itu.
Kemudian, dilebarkan lagi sayap dengan pembukaan Tadika Genius Murni (Seremban), Taska Vista Murni (Kuala Lumpur) serta Taska Kristal Murni (Shah Alam).
Meskipun boleh dianggap berjaya pada ketika itu, Rozita bukanlah seorang wanita yang mudah berpuas hati.
Baginya, sangat penting untuk tenaga pengajar dan pengusaha taska sepertinya mempunyai kemahiran serta pengetahuan yang tinggi.
“Semakin lama saya mengajar, mengasuh dan berada dalam kalangan anak-anak kecil, saya menyedari keperluan pengusaha sendiri untuk mempunyai pengetahuan yang tinggi.
“Bagi saya, pada usia 0 hingga 3 tahun, perkembangan otak dan sahsiah anak-anak mula dibentuk. Justeru, penting sekali kami sebagai pendidik di taska mendalami ilmu terbaik agar dapat membantu meningkatkan kualiti generasi ini,” ucapnya.
Lantaran itu, dikerahkan keringatnya untuk kembali menimba ilmu dengan mengambil Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Universiti Malaya pada usia 40 tahun.
Modul
Mengakui ia sebagai sesuatu yang bukan mudah berikutan faktor usia, pertambahan anak dan sebagainya, cintanya terhadap dunia pendidikan kanak-kanak cukup murni.
Pada usia lewat 50-an, beliau terus berusaha mendalami ilmu hingga berhasil memperoleh Ijazah Sarjana Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Unitar International University di ibu negara selain Sarjana Pendidikan dari Paramount University, Amerika Syarikat.
Jelasnya, beliau tidak pernah berasa penat kerana daripada ilmu yang diperoleh, beliau mampu membuat modul yang lebih baik untuk tadika dan taska miliknya, memberi latihan kepada pengusaha taska dan guru tadika, malah ibu bapa berkaitan kesihatan serta keselamatan anak-anak.
Bercerita lanjut tentang Rozita, Penyelia merangkap Guru Tadika Genius Murni, Noryani Muhd., berkata, majikannya itu sangat mementingkan dua perkara dalam kalangan pengasuh dan guru di bawah kendalian syarikatnya iaitu sifat ikhlas serta kemahiran.
“Di Murni Childcare, kami sentiasa diingatkan untuk ikhlas dalam pekerjaan dan menganggap anak asuhan seperti anak sendiri agar tugas tidak menjadi bebanan.
“Bekerja dengan kanak-kanak bukan satu perkara mudah. Selain kasih sayang, hanya kemahiran dapat membantu kami menangani kenakalan dan kerenah mereka secara profesional, sekali gus mengelak masalah seperti penderaan,” jelasnya yang sudah berkhidmat hampir 24 tahun bersama Murni Childcare.
Disebabkan itu, selain mewajibkan pekerja memiliki Sijil Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak, Rozita tidak pernah lokek mengeluarkan wang untuk menghantar pekerja menjalani kursus kemahiran tambahan termasuk cara menangani situasi kecemasan dan insiden tidak dijangka.











